Kerajaan perlu mandat lebih besar, stabil

Mohd Khairuddin Aman Razali
Mohd Khairuddin Aman Razali
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan memerlukan mandat yang lebih besar dan stabil untuk tidak bergantung kepada sokongan pembangkang dalam apa sahaja pembentangan rang undang-undang (RUU).

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ia berikutan ahli Parlimen kelab penyokong kerajaan termasuk bebas hanya mempunyai lebihan angka yang sangat nipis dengan 114 kerusi sahaja.

“Keyakinan pelabur asing dan pemulihan ekonomi sendiri bergantung kepada kestabilan politik negara dan kekuatan kerajaan.

“Perjanjian dengan pembangkang perlu diperkukuhkan semula dengan terma-terma yang boleh memberikan tambahan keyakinan kepada kekuatan kerajaan.

“Terserah kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk menilai suasana semasa dan menyusun kekuatan kerajaan sementara menunggu pembubaran Parlimen,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Khamis.

Pada Rabu, sidang Dewan Rakyat melakar sejarah buat blok pembangkang apabila buat pertama kalinya menang dalam penentuan undi belah bahagi.

Undian dibuat mengenai usul bagi melanjutkan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) berkenaan tahanan selama 28 hari tanpa perbicaraan.

Melalui undi yang dijalankan hanya 84 ahli Parlimen bersetuju berbanding 86 yang tidak bersetuju.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu turut memaklumkan bahawa beliau tidak hadir pada sidang Dewan Rakyat tersebut kerana mengikuti Expo Dubai 2020 pada Selasa hingga hari ini.

“Saya sendiri selaku ahli Parlimen penyokong kerajaan berada di Dubai mengikuti Expo Dubai 2020 atas kapasiti Pengurusan Aset Air Berhad yang bernaung di bawah Kementerian Air dan Alam Sekitar (KASA) bersama-sama dengan Timbalan Menteri KASA dari Selasa hingga Khamis ini.

“Surat makluman telah dihantar kepada Setiausaha Dewan Rakyat memaklumkan ketidakhadiran saya dalam tempoh tersebut.

“Sepanjang di Dubai bertemu dengan pelbagai pihak, saya mendapat respon kurang memberangsangkan oleh para pelabur asing melibatkan pelaburan di Malaysia ekoran ketidakstabilan politik negara,” ujarnya.