Kerajaan Kelantan peruntuk RM10 juta tangani masalah banjir kilat

Kerajaan Kelantan memperuntukkan RM10 juta untuk mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda beberapa kawasan di negeri ini. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Ahmad)
Kerajaan Kelantan memperuntukkan RM10 juta untuk mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda beberapa kawasan di negeri ini. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Ahmad)
A
A
A

TUMPAT - Kerajaan Kelantan memperuntukkan sebanyak RM10 juta sebagai permulaan awal untuk mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda beberapa kawasan di negeri ini setiap kali hujan lebat.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, peruntukan itu telah diluluskan pada Rabu semasa mesyuarat Exco di Kota Darulnaim.

"Ia melibatkan kerja-kerja mencuci longkang, penukaran saiz longkang dan mencuci kawasan-kawasan alur kecil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis 'Jjupo mato' bersama rakyat dan Taman Bandar Tumpat di Kampung Baru Nelayan di sini pada Khamis.

Hadir sama Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Datuk Azami Mohd Nor; Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Kamal Mustapha dan Ketua Jajahan Tumpat, Rusydee Abdullah.

Menurutnya, kerja-kerja tersebut bagi memastikan aliran air hujan dapat mengalir dengan cepat dan sempurna sekali gus mengelakkan berlaku banjir kilat.

Beliau berkata, antara lokasi yang sering berdepan dengan banjir kilat ialah di Kubang Kerian, Panji, Ketereh dan Kota Kubang Labu (Tumpat).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan itu berkata, kerja-kerja mengatasi banjir kilat ini akan dilaksanakan serta-merta.

"Kami ambil serius perkara ini kerana ia melibatkan soal kepentingan rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri sentiasa peka dengan setiap aduan yang diberikan oleh rakyat, sebab itulah kita ambil langkah segera," katanya.