Sanggup belanja puluhan ribu ubah suai motosikal, akhirnya disita JPJ

SEBERANG JAYA- Demi kepuasan hobi dan mahu menonjol dalam kalangan rakan serta pengguna jalan raya lain, ada pemilik motosikal sanggup membelanjakan wang sehingga puluhan ribu ringgit untuk mengubah suai kenderaan mereka secara ekstrem.
Lebih membimbangkan, antara pengubahsuaian yang dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang termasuk penggunaan tayar terlalu kecil atau dikenali sebagai tayar sotong, ekzos tanpa penyerap bunyi, lengan ayun belakang (swing arm) yang dipanjangkan sehingga menyebabkan sistem brek belakang tidak dapat dipasang serta pengubahsuaian enjin.
Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, sebanyak 3,874 motosikal diperiksa menerusi Operasi Khas Motosikal Ekstrem yang dilaksanakan sejak 1 Januari hingga Khamis.
Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 1,006 motosikal diambil tindakan atas pelbagai kesalahan teknikal dan pelanggaran peraturan jalan raya.
“Sepanjang operasi dijalankan, kita mendapati pelbagai bentuk pengubahsuaian ekstrem dilakukan pemilik motosikal sehingga menjejaskan aspek keselamatan, kestabilan dan tahap bunyi bising kenderaan.
“Antaranya penggunaan tayar yang tidak mengikut spesifikasi asal sehingga boleh menjejaskan cengkaman dan kestabilan motosikal.
“Selain itu, ada pemilik membuang penyerap bunyi pada sistem ekzos sehingga menghasilkan bunyi bising yang mengganggu ketenteraman penduduk setempat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ Pulau Pinang, di sini pada Jumaat.

Beliau menambah, pengubahsuaian lengan ayun belakang yang dipanjangkan daripada spesifikasi asal turut dikesan kerana ia boleh menyebabkan sistem brek belakang tidak dapat dipasang dengan sempurna sekali gus mengakibatkan motosikal berkenaan tidak mempunyai brek belakang.
"JPJ turut mengesan kesalahan membabitkan pengubahsuaian enjin, penunggang motosikal bawah umur, mengubah nombor casis serta kegagalan mematuhi spesifikasi nombor pendaftaran," ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, Zulkifly berkata, daripada keseluruhan pemeriksaan itu, sebanyak 1,269 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
"Antara kesalahan teknikal direkodkan ialah nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (74 kes), mengubah nombor casis (empat), pengubahsuaian ekzos (28), penggunaan tayar tidak mengikut spesifikasi (36), kesalahan brek (26) dan pengubahsuaian lengan ayun (27).
"Selain itu, sebanyak 68 kesalahan teknikal lain turut dikesan dalam operasi berkenaan. Dalam tempoh daripada Januari sehingga semalam, jumlah kompaun yang dikeluarkan adalah RM218,100," jelasnya.
Menurutnya, sebanyak 98 motosikal disita dalam tempoh sama bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan manakala tindakan penguatkuasaan turut merangkumi pengeluaran kompaun dan pendakwaan di mahkamah mengikut jenis kesalahan serta peruntukan undang-undang berkaitan.
“Nilai motosikal yang disita berbeza mengikut model. Jika dianggarkan harga sebuah motosikal sekitar RM5,000 hingga RM6,000, nilai keseluruhan 98 motosikal itu boleh mencecah kira-kira RM500,000.
“Itu belum termasuk kos pengubahsuaian kerana ada pemilik membelanjakan lebih banyak wang untuk mengubah suai motosikal berbanding harga asal kenderaan itu sendiri.
“Kos pengubahsuaian boleh mencecah puluhan ribu ringgit bagi sebuah motosikal, bergantung kepada jenis ubah suai yang dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan pemilik melakukan pengubahsuaian berkenaan atas dasar hobi dan mahu menonjolkan motosikal masing-masing kepada rakan serta orang awam.
“Hobi itu tidak salah. Kalau mahu mengubah suai motosikal mengikut cita rasa masing-masing, itu hak mereka.
“Tetapi motosikal yang diubah suai secara ekstrem dan tidak mengikut spesifikasi tidak boleh digunakan di jalan raya. Jika mahu menjadikannya sebagai hobi, pastikan ia tidak melanggar undang-undang serta tidak digunakan di jalan awam,” katanya.
Tambahnya, operasi berkenaan turut memberi tumpuan kepada usaha membanteras aktiviti lumba haram, menguji kelajuan dan tunggangan berbahaya yang sering dikaitkan dengan golongan remaja.
"Terdapat penunggang yang dikesan berusia bawah 16 tahun dan tidak mempunyai lesen memandu, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan mereka.
"Bagaimanapun, individu yang ditahan bagi membantu siasatan tidak semestinya akan terus dikenakan tindakan penahanan kerana mereka boleh dilepaskan selepas proses siasatan selesai, tertakluk kepada prosedur ditetapkan," katanya lagi.
Menurutnya, objektif operasi bukan sekadar membanteras pengubahsuaian motosikal secara ekstrem, sebaliknya memastikan pemilik dan penunggang mematuhi spesifikasi asal yang diluluskan serta peruntukan undang-undang berkuat kuasa.
Katanya, operasi itu turut dilaksanakan susulan aduan masyarakat berkaitan bunyi bising ekzos dan aktiviti motosikal yang mengganggu ketenteraman penduduk.
“JPJ Pulau Pinang tidak akan berkompromi terhadap kesalahan pengubahsuaian motosikal ekstrem yang melibatkan pelanggaran undang-undang serta risiko keselamatan serius.
“Tindakan akan diambil berdasarkan jenis kesalahan dan keadaan kenderaan termasuk penyitaan serta tindakan mahkamah, bukan sekadar mengeluarkan kompaun,” katanya.
Beliau berkata, operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan khususnya terhadap penunggang dan pemilik motosikal yang terbabit dalam aktiviti lumba haram, menduga kelajuan, tunggangan berbahaya serta mengganggu ketenteraman awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

