Karnival Pesona Wanita DUN Dong 2026 hargai wanita

KUANTAN – Golongan wanita dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Dong, Raub diraikan melalui penganjuran sulung Karnival Pesona Wanita Dun Dong 2026, pada 29 November ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri, Datuk Fadzli Mohamad Kamal berkata, program julung kali dianjurkan itu bertujuan mengiktiraf peranan wanita khususnya di kawasan berkenaan.
Menurutnya, selain sumbangan mereka kepada keluarga, golongan wanita juga memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat.
"Atas hasrat itu, karnival yang akan berlangsung di Kompleks Rakan Muda Raub, Dong ini turut membuka peluang kepada masyarakat mencalonkan individu yang layak bagi menerima empat anugerah khas, Anugerah Ibu Mithali, Anugerah Ikon Usahawan Wanita, Anugerah Ikon Wanita Kerja Amal dan Komuniti dan Anugerah Ikon Wanita Pendidikan.
"Pencalonan bagi anugerah ini dibuka menerusi kampung masing-masing," katanya kepada Sinar Harian.
Fadzli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu memberitahu, pelbagai acara menarik disusun khusus buat golongan wanita, antaranya pertandingan Pesona Wanita Pakaian Tradisional, Ratu Kebaya dan Ratu Cantik Orang Asli.
Turut diadakan pertandingan deco sirih junjung dan hantaran coklat serta pertandingan memasak patin tempoyak.
Fadzli berkata, karnival anjuran Akademi Diyana dengan kerjasama Wanita dan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Dong turut membuka peluang kepada usahawan wanita menceburi bidang kecantikan dan penjagaan diri.
Katanya, pihak akademi membuka peluang kepada 50 peserta dalam kalangan wanita di Dong mengikuti kursus tatarias.
"Peserta akan dilatih dengan kemahiran dalam bidang kecantikan termasuk rawatan wajah dan urutan supaya mereka mempunyai asas untuk memulakan perniagaan sendiri dalam bidang itu," ujarnya.
Mengulas penyertaan peserta terhadap karnival itu, Fadzli berkata, penyertaan diterima amat menggalakkan.
"Saya dimaklumkan penyertaan peserta pertandingan sudah penuh walaupun tarikh tutup pendaftaran ditetapkan Isnin minggu depan," katanya.
Sementara itu katanya, karnival turut diserikan dengan kehadiran Ikon Wanita Pahang yang juga isteri Menteri Besar Pahang, Datin Seri Burhah Mohammed.
"Kehadiran beliau memberi peluang kepada golongan wanita di sini mengenali lebih dekat wanita penting di belakang Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (Tok Wan)," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

