'Kesan internet lebih mudarat berbanding ketum' - MB Kedah

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa kesan penggunaan internet lebih memudaratkan berbanding mengeksport daun ketum untuk tujuan perubatan.

Beliau berkata, pelbagai kesan negatif termasuk kerosakan terhadap masyarakat akibat melayari laman sesawang di internet didedahkan, namun kenapa penggunaan internet tidak disekat atau diperangi seperti ketum.

Menurutnya, disebabkan faedah dan manfaat penggunaan internet lebih banyak berbanding kerosakan, maka capaian internet dipertingkatkan mengikut peredaran zaman.

“Kenapa internet tidak disekat atau dihalang seperti memerangi ketum? Kenapa tidak dilakukan perkara sama terhadap ketum?,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Muhammad Sanusi berkata, ketagihan dan kerosakan akibat penggunaan internet daripada aspek kesihatan fizikal dan mental sanggup diketepikan melalui kaedah kaunseling dan perubatan lain.

“Malah pelbagai produk dihasilkan oleh syarikat-syarikat multinasional dengan pelaburan berbilion ringgit dalam bidang berkenaan malah diimport dan dieksport, menyebabkan sektor ekonomi dikembangkan daripada internet.

“Kanak-kanak sekolah turut dilaporkan menjadi mangsa ketagihan pornografi dan permainan video di internet yang membawa kepada banyak kerosakan lain,” katanya.

Menurutnya, hasrat Kedah yang mencadangkan agar ketum dibenarkan dieksport ke negara yang memiliki teknologi penggunaaan daun ketum yang selamat dan bermanfaat, adalah rasional dan wajar dipertimbangkan.

Artikel Berkaitan:

“Adakah kerana internet adalah bidang perniagaan multi bilionaire dan orang-orang kaya yang berpengaruh? Manakala ketum adalah tanaman orang kampung yang tidak dikenali?,” soal Muhammad Sanusi.

Tegas beliau, aktiviti mengeksport daun ketum adalah kegiatan ekonomi masyarakat kampung, berbanding aktiviti menerusi internet yang menjadi sumber kekayaan orang kaya.

Pada 16 Mac, Muhammad Sanusi mencadangkan kerajaan Persekutuan memberi kebenaran kepada Kedah bagi mengeksport ketum secara sah ke Thailand bagi tujuan perubatan.

Beliau berkata, kerajaan negeri sudah mengarahkan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) melakukan sesi libat urus bersama semua agensi berkaitan dan dapatan terbabit akan dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan untuk dipertimbangkan.