Kedah minta benarkan penanaman ketum

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan diminta untuk membenarkan Kedah mengusahakan penanaman ketum bagi tujuan perubatan dan dieksport ke luar negara.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kedah memiliki tanah paling sesuai untuk pertumbuhan dan pembesaran spesies ketum terbaik bagi perubatan yang diusahakan di Thailand.

Menurutnya, ketum juga merupakan tanaman yang mempunyai permintaan eksport tinggi dengan harga pasaran di Thailand boleh mencecah sehingga RM150 sekilogram.

"Oleh kerana permintaan tinggi, harga daun ketum di sini sekitar RM30 sekilogram dan boleh meningkat hingga mencecah RM100 hingga RM150 sekilogram apabila sampai di sempadan. Begitu mahal.

"Jadi, saya hendak cadangkan kepada kerajaan Persekutuan," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Muhammad Sanusi memberitahu, Thailand mengusahakan daun ketum dalam bentuk pil untuk perubatan dan mesin layan diri yang menjual minuman berasaskan ketum.

Tambah beliau, kerajaan negeri turut bersedia melantik mana-mana anak syarikat di Kedah untuk menjadi ejen tunggal di negeri ini dengan mengumpulkan pengusaha komoditi ketum sekaligus menjadi pengeksport sah.

"Dengan ini, kerajaan boleh mendapat cukai dan pihak penguatkuasaan tidak perlu bersusah payah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa cadangan membenarkan penanaman ketum bukanlah untuk disalahgunakan dengan memasukkan ke dalam badan secara salah seperti cakoroi (minuman campuran air ketum dan ubat batuk).

Beliau berpendapat kerajaan perlu mengambil manfaat menjadi pengeksport daun ketum dari Malaysia ke Thailand sekiranya ada teknologi terbaik untuk kesihatan diusahakan negara jiran.

"Kedah jadi 'one stop centre' untuk pengumpulan komoditi ini, agensi terlibat diminta untuk membincangkan bagaimana menjadikan proses eksport daun ketum ini secara sah.

"Sekiranya perlu kepada pindaan akta di Parlimen maka kena bawa ke sana. Sekiranya tidak perlu, maka boleh dibuat secara pentadbiran," katanya.

Muhammad Sanusi memberi jaminan kerajaan negeri boleh menyediakan agensi seperti Kumpulan Ladang, Kedah Agro dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) pada bila-bila masa untuk menjadi agensi yang mempunyai lesen untuk membeli dan mengeksport ketum.

"Jadi, orang kampung tidak perlu lari-lari lagi apabila tanaman ketum dibenarkan. Sekarang pergi kampung atau ladang di mana pun disebabkan tanaman boleh tapi proses tidak boleh," katanya.

Beliau mengulangi pendirian ketum memiliki nilai perubatan dan berharap ia diberi perhatian memandangkan Kedah memiliki tanah dan dakwanya merugikan sekiranya tidak diusahakan.