Bekas pengarah didakwa 65 pertuduhan pecah amanah RM584,955

Yap Ping Eng (tengah) diiring polis sebaik tiba di Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu.
Yap Ping Eng (tengah) diiring polis sebaik tiba di Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang bekas pengarah syarikat logistik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu atas 65 pertuduhan pecah amanah duit syarikat lebih setengah juta tiga tahun lalu.

Tertuduh, Yap Pin Eng, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan berasingan di hadapan Hakim, Diana Md Razali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh ketika itu merupakan pengarah syarikat CM Express Sdn Bhd dan Cell City Delivery (M) Sdn Bhd telah melakukan pecah amanah jenayah harta syarikat yang berjumlah keseluruhan RM584,955.92.

Perbuatan itu dilakukan antara 5 Julai 2019 hingga 2 Disember 2020 di sebuah bank di Seremban.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan dengan sebat dan denda.

Tertuduh diwakili peguam Yayasan Biro Guaman Kebangsaan(YBGK) A Partheeban merayu supaya diberi jaminan rendah kerana mempunyai tiga anak yang masih bersekolah dan telah berpisah dengan suami.

Katanya, tertuduh juga tidak lagi bekerja sejak Disember 2020 dan menghadapi masalah untuk dapatkan pekerjaan lain kerana akaun banknya telah dibekukan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulfikri Mohd Nasir memberitahu kesalahan dilakukan tertuduh tidak boleh diberikan jaminan dan meminta mahkamah mempertimbangkan beri jaminan RM300,000 jika membenarkan jaminan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan jaminan secara kumulatif berjumlah RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport dan melapor diri di Balai Polis Seremban 2 setiap bulan sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes 25 April ini.