Sila log masuk terlebih dahulu.

Pastikan kanak-kanak divaksin, elak komplikasi MIS-C

Gambar hiasan. Foto 123rf
Gambar hiasan. Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ibu bapa diminta agar memastikan anak-anak mereka divaksin bagi mengelakkan komplikasi serius akibat Covid-19 seperti Sindrom Keradangan Multisistem Dalam Kanak-Kanak (MIS-C).

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth)m Datuk Dr Anas Alam Faizli dalam kenyataan pada Selasa berkata, kes Covid-19 melibatkan kanak-kanak telah meningkat dengan mendadak termasuk kondisi yang serius dan kematian.

"Kami bimbang tentang MIS-C dalam kalangan kanak-kanak. Justeru, kami merayu kepada ibu bapa supaya memastikan anak-anak anda dilindungi daripada virus Covid-19. Tolong lindungi anak-anak kita, keluarga kita dan dengan melakukan ini kita akan melindungi semua orang,” katanya.

Dr Anas turut menggesa supaya lebih ramai pakar kanak-kanak menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) untuk membantu dan bekerjasama dengan ProtectHealth dalam melaksanakan program tersebut secara maksimum.

"Terkini, lebih 900 pengamal perubatan am (GP) dan empat klinik pakar kanak-kanak terlibat dalam program PICKids,” katanya.

Seramai 1,267,491 kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun, atau 35.7 peratus daripada populasi kumpulan itu dalam negara ini, telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 di bawah PICKids setakat semalam (Isnin). - Bernama

Artikel Berkaitan: