Pantau peruncit, pemborong tetapkan harga tepung tidak bersubsidi

KPDNHEP Selangor sentiasa memantau 280 DDR dan 119 DDW secara harian bagi memastikan harga tepung tidak bersubsidi terkawal. - Gambar hiasan
KPDNHEP Selangor sentiasa memantau 280 DDR dan 119 DDW secara harian bagi memastikan harga tepung tidak bersubsidi terkawal. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor sentiasa memantau 280 peruncit terpilih daerah (DDR) dan 119 pemborong terpilih daerah (DDW) secara harian bagi memastikan harga tepung tidak bersubsidi terkawal.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, walaupun tiada aduan diterima berhubung kenaikan harga barangan tersebut, namun Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dilaksanakan untuk mengawal pengambilan untung tidak munasabah oleh peniaga.

Selain itu, Mohd Zawawi berkata, KPDNHEP Selangor turut melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi menghalang sebarang kemungkinan harga barangan tersebut meningkat menjelang musim perayaan.

"Penguatkuasaan kawalan harga secara bertempoh tertentu dilaksanakan untuk kebajikan pengguna Selangor agar kedudukan harga menjelang dan semasa musim perayaan tidak meningkat atau menjadi tidak terkawal.

"Skim SHMMP juga dilaksanakan bagi menstabilkan harga barang keperluan tertentu dalam negara semasa musim-musim perayaan utama," katanya menerusi laporan daripada KPDNHEP Selangor pada Selasa.

Dalam pada itu Mohd Zawawi berkata, perubahan harga barangan tertentu mula melanda negara susulan berlakunya kenaikan harga bahan mentah makanan secara global yang turut berpunca daripada pandemik Covid-19.

Oleh itu katanya, kaedah kawalan bertempoh seperti skim SHMMP dengan menjadikan beberapa barangan sebagai barang kawalan mampu mengelakkan ia daripada dimanipulasi oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Kaedah tersebut memastikan harga barangan keperluan terkawal di musim perayaan dan tidak dimanipulasi oleh peniaga yang tamak dan tidak beretika.

Artikel Berkaitan:

"Contohnya seperti situasi kenaikan harga ayam dan telur ayam yang mana kedua-duanya telah ditentukan harga maksimumnya di peringkat borong dan runcit bermula Februari sehingga 5 Jun 2022," katanya.

Pada Selasa, rata-rata peniaga meluahkan rasa resah apabila harga tepung tidak bersubsidi dikesan mula meningkat sejak tiga minggu lalu.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kawasan di sini pada Selasa mendapati terdapat harga tepung tidak bersubsidi meningkat sebanyak RM2.50 sehingga RM4 untuk 10 kilogram (kg) tepung yang dibeli secara borong.