41 PBT laksana inisiatif bandar rendah karbon

Tuan Ibrahim ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2021 di ibu negara pada Selasa.
Tuan Ibrahim ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2021 di ibu negara pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 41 pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat melaksanakan inisiatif bandar rendah karbon di negara ini yang dianjurkan oleh Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), kata Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurutnya, jumlah itu daripada 70 PBT yang diberi pendedahan konsep dan pembangunan kapasiti menerusi program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030.

“Sebanyak 33 bandar sasaran telah dikenal pasti di bawah Pelan Induk Bandar Rendah Karbon untuk mencapai pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) mutlak yang tinggi.

“Alhamdulillah, sehingga kini sebanyak 70 PBT diberi pendedahan konsep dan pembangunan kapasiti menerusi program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2021 di ibu negara pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar) KASA, Noor Afifah Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Shamsul Bahar Mohd Nor.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim turut berharap agar 33 buah bandar yang terpilih di bawah inisiatif Pelan Induk Bandar Rendah Karbon akan menyediakan inventori dan pelan tindakan pengurangan kadar pelepasan gas rumah kaca seawal tahun 2030.

“Dengan jumlah pengurangan sebanyak 33 peratus berdasarkan penanda aras masing-masing. PBT yang lain dialu-alukan untuk menyertai program ini pada masa akan datang,” katanya.

Tambah Tuan Ibrahim, bagi mengukuhkan pelaksanaan inisiatif bandar rendah karbon, KASA turut memperkenalkan Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) berjumlah RM35 juta.

Artikel Berkaitan:

“Geran ini akan diberikan kepada PBT seluruh negara. Sebanyak 18 PBT di Kelantan, Terengganu, Sarawak, Perak, Johor dan Wilayah Persekutuan telah melakukan projek bandar rendah karbon di bawah peruntukan GeRAK.

“Pelaksanaan GeRAK dijangka melibatkan 146 syarikat tempatan di seluruh negara dengan potensi pengurangan GHG kira-kira 110,969 tan karbon dioksida setara,” katanya.

Jelasnya, sebanyak 141 PBT telah menerima peruntukan bagi pelaksanaan inisiatif bandar karbon yang merangkumi elemen tenaga, air, sisa, mobiliti dan kehijauan di perkarangan awam.

“KASA tidak akan dapat melaksanakan pelbagai inisiatif tersebut tanpa kerjasama daripada pelbagai pihak,” jelasnya.

Sementara itu, Shamsul Bahar menjelaskan objektif Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 bertujuan untuk membangunkan 200 zon rendah karbon dan 1,000 rakan kongsi rendah karbon di seluruh Malaysia menjelang tahun 2030.

“Justeru, Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 ini memusatkan kapasiti pencapaian melalui penyertaan daripada PBT, universiti dan organisasi korporat sebagai zon rendah karbon atau rakan kongsi rendah karbon.

“Dengan mengambil tindakan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca di lima sektor tumpuan inisiatif ini iaitu tenaga, air, mobiliti, sisa dan kehijauan,” jelasnya.