Terpaksa naikkan harga simen: CIMA

Sharuddin (tengah) melihat laporan mengenai CIMA selepas taklimat bersama media pada Selasa.
Sharuddin (tengah) melihat laporan mengenai CIMA selepas taklimat bersama media pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Kenaikan harga simen tidak dapat dielakkan berikutan kenaikan harga bahan mentah yang digunakan untuk pengeluarannya terutama arang batu.

Pengarah Urusan Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA), Sharuddin Omar Hashim berkata, peningkatan itu berlaku bukan saja disebabkan faktor pandemik Covid-19 tetapi juga didorong larangan eksport oleh Indonesia dan konflik peperangan antara Rusia dan Ukraine.

"Harga simen terpaksa dinaikkan kerana harga bahan mentah meliputi 30 hingga 40 peratus daripada kos pengeluaran terutama arang batu.

"Harga pasaran dunia arang batu sebelum ini antara AS$60 hingga AS$70 tetapi meningkat kepada AS$200 dan kemungkinan boleh mencecah sehingga AS$400," katanya dalam taklimat bersama media di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Loji Simen (Bahau), Azahari Matt dan Ketua Pegawai Kewangan CIMA, Khor Khai Nee.

Menurutnya, peningkatan harga bahan mentah menyebabkan syarikat pengeluar simen di negara ini termasuk CIMA terpaksa menaikkan harga bagi meneruskan operasi.

Bagaimanapun katanya, harga simen di negara ini dilihat masih berpatutan jika dibandingkan dengan negara lain.

Artikel Berkaitan:

Sharuddin memberitahu, pihaknya berusaha mengoptimumkan kos pengeluaran dengan menggunakan pelbagai bahan alternatif dan kini membangunkan sistem pemulihan haba bagi menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

"Kini, kita bakal melabur kira-kira RM120 juta bagi membangunkan sistem pemulihan haba sisa di kilang kami di Bahau yang dijangka siap menjelang tahun 2024.

"Melalui sistem ini dapat menjimatkan kira-kira 30 peratus penggunaan elektrik dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 24 peratus setiap tahun di kilang itu," katanya.