SMART SBB beri manfaat lebih baik

Ronald Kiandee
Ronald Kiandee
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) bakal meningkatkan produktiviti pengeluaran padi dan beras negara menerusi penglibatan syarikat peneraju.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, inisiatif tersebut sekali gus akan membantu meningkatkan pendapatan pesawah selain mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.

“Pelaksanaan program ini melibatkan persetujuan bersama antara pesawah atau pengusaha dengan syarikat peneraju berteraskan pendekatan sewaan dan pertanian kontrak iaitu hak pesawah masih kekal dan tidak terjejas.

"Perbezaan antara konsep pendekatan program sebelum ini, ia tidak melibatkan kos serta modal pesawah kerana ditanggung syarikat peneraju," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang ingin mengetahui perbezaan pelaksanaan SMART SBB jika dibandingkan dengan inisiatif sama sebelum ini.

Mengulas lanjut Ronald berkata, setakat ini terdapat penyertaan 19 syarikat peneraju yang telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan mensasarkan pembangunan kawasan penanaman padi seluas 300,000 hektar secara berperingkat.

Ronald memaklumkan, pelaksanaan SMART SBB di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor melibatkan kawasan seluas 1,274 hektar dengan bilangan pesawah seramai 881 orang setakat Disember 2021.

“Jumlah pengeluaran padi bagi IADA tersebut tahun lalu ialah 6,325 tan metrik dengan purata hasil 4.99 tan metrik per hektar manakala program yang dilaksanakan di Sekinchan, Selangor melibatkan 100 hektar.

Artikel Berkaitan:

"Keluasan itu meningkatkan hasil padi daripada 2.5 tan metrik sehektar kepada lapan hingga 10 tan metrik sehektar bagi musim 2/2021 dan 1/2022,” katanya.