Keluarga warga emas hilang tunai janji beri ganjaran RM10,000

Laporan Sinar Harian pada Ahad. (Gambar kecil: Lau Kok Gian)
Laporan Sinar Harian pada Ahad. (Gambar kecil: Lau Kok Gian)
A
A
A

IPOH - Keluarga warga emas yang hilang ketika mendaki Puncak Jelapang di sini, akan menunaikan janji untuk memberi ganjaran RM10,000, susulan penemuan mangsa pada Ahad.

Lau Sam, 84, ditemukan sudah meninggal dunia selepas sembilan hari operasi mencari dan menyelamat digerakkan sekitar jam 2.30 petang.

Mangsa ditemui dua lelaki dari pasukan malim gunung dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terdampar dalam sungai pada ketinggian 550 meter.

Anak mangsa, Lau Kok Gian, 48, berkata, ahli keluarga telahpun menemui dan menghubungi malim gunung terbabit bagi tujuan berkenaan.

"Ganjaran itu akan kami sampaikan sama sepertimana yang telah dinyatakan sebelum ini, sebaik urusan kematian ayah selesai," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Isnin.

Menurutnya, pada hari kejadian, dia turut menyertai operasi pencarian bersama pendaki yang lain sebelum dimaklumkan penemuan ayahnya.

"Kawan hubungi saya dan beritahu ada pasukan malim gunung telah menemui ayah.

"Saya tengok keadaan ayah ketika itu, sangat sedih tetapi tidak boleh berbuat apa, kami hanya boleh tunggu sehingga pasukan penyelamat sampai untuk bawa ayah turun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Lau Kok Thung (kanan) hadir ke Jabatan Forensik HRPB untuk urusan pengebumian.
Lau Kok Thung (kanan) hadir ke Jabatan Forensik HRPB untuk urusan pengebumian.

Dia turut mengiringi pasukan penyelamat membawa mayat bapanya turun ke kaki bukit sehingga jam 3 pagi.

"Tempoh lama diambil kerana kami terpaksa naik ke puncak bagi mengikuti laluan yang lebih selamat berbanding menyelusuri sungai yang agak berbahaya," katanya.

Seorang lagi anak mangsa, Lau Kok Thung, 52, yang ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini berkata, ahli keluarga menerima kematian ayah mereka memandangkan tempoh kehilangan yang sudah memasuki hari kesembilan.

Dia turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pasukan penyelamat serta individu yang terlibat sepanjang operasi digerakkan.

"Kami terharu apabila ramai yang membantu mencari ayah walaupun dalam keadaan cuaca tidak menentu dan laluan sukar.

"Kami terima berita kematian ini dengan hati yang lapang, hanya mak yang masih bersedih," katanya.

Mangsa dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti pendakian di Puncak Jelapang di sini pada 11 Mac lalu.

Operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan tidak menemui sebarang petunjuk menyebabkan ahli keluarga menawarkan ganjaran RM10,000 kepada sesiapa yang membantu menjumpai mangsa sama ada dalam keadaan masih hidup atau sebaliknya.