Terengganu peruntuk RM5 juta baik pulih jambatan Belukar Bukit

Istiadat Pembukaan Penggal Kelima DUN Terengganu Ke-14 di Wisma Darul Iman pada Isnin. - Foto Bernama
Istiadat Pembukaan Penggal Kelima DUN Terengganu Ke-14 di Wisma Darul Iman pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu akan memperuntukkan kira-kira RM5 juta bagi kerja-kerja membaik pulih jambatan di Belukar Bukit, Hulu Terengganu yang runtuh akibat banjir luar biasa pada akhir Februari lalu.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, proses membaik pulih jambatan untuk penyelesaian jangka masa panjang itu antara lain merangkumi kerja-kerja penyambungan jambatan sepanjang kira-kira 12 meter.

"Projek ini di bawah kerajaan negeri dengan kerjasama JKR (Jabatan Kerja Raya). Kita akan lantik konsultan terlebih dahulu untuk menyiapkan reka bentuk projek, selepas itu kita akan laksanakan, dan Insya-ALLAH tidak sampai setahun ia akan siap,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman pada Isnin.

Beliau berkata, pada masa yang sama JKR akan segera membina sebuah titi sebagai gantian sementara jambatan yang menghubungkan Kampung Belukar Bukit dan Kampung Betong itu dengan kos kira-kira RM100,000.

Katanya, pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah melantik syarikat konsesi bagi mengendalikan pembinaan titi berkenaan dan ia dijangka siap dalam tempoh lima atau enam hari lagi.

"Titi itu ia boleh digunakan oleh pejalan kaki, penunggang basikal serta motosikal,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: