Mohon Kedah Aerotropolis dikecualikan NASP

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah memohon agar projek pembangunan Kedah Aerotropolis atau sebelum ini dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dikecualikan daripada kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Jawatankuasa Teknikal KXP AirportCity Holdings, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) yang bertanggungjawab mengendalikan pembangunan projek itu kini sedang mengadakan rundingan bagi mempercepatkan projek berkenaan.

Menurutnya, ia susulan NASP bagi pembangunan Kedah Aerotropolis belum dibuka tender sehingga kini.

“Saya sudah bangkitkan perkara ini, tempoh tiga tahun diperlukan untuk siapkan NASP. Kita tak boleh tunggu begitu lama.

"Oleh itu Jawatankuasa Teknikal sedang adakan rundingan antaranya mohon Kedah Aerotropolis dikecualikan NASP.

“Sekiranya tender terbabit dibuka tahun ini, NASP akan siap pada 2025, ini bermakna kita perlu beberapa kali menyambung permohonan pengambilan tanah di bawah Seksyen Empat, jika dikecualikan akan memudahkan dan percepatkan projek ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jitra) pada sesi lisan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Isnin.

Muhammad Sanusi berkata, perkara itu turut dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyatakan komitmen untuk memberi sokongan agar projek terbabit dapat disegerakan.

Artikel Berkaitan:

“Terdapat juga cadangan dari Kementerian Pengangkutan untuk laksanakan NASP interim namun butiran berkaitan belum diperincikan.

"Buat masa ini kita mohon agar NASP dikecualikan,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi KXP AirportCity Holdings memaklumkan, tempoh pengambilan tanah bawah Seksyen Empat yang tamat pada Januari lalu telah disambung bagi membolehkan projek berjalan lancar selain untuk mengatasi beberapa halangan berbangkit.

“Kita tiada pilihan kerana permohonan perlu dibuat menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan dan Unit Kerjasama Awam Swasta (PUKAS), kertas kerja berkaitan telah dikemukakan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Difahamkan PUKAS sudah mula menyediakan kertas berkaitan untuk dimasukkan dalam Kabinet kerana projek mega seperti ini perlu dapatkan kelulusan Kabinet,” katanya.

Menurutnya, proses pembangunan projek secara keseluruhan berjalan lancar dan yakin ia dapat direalisasikan seperti dirancang.

“Saya andaikan syarikat pemaju mengambil sikap berhati-hati kerana belum dibawa ke kabinet, sekurang-kurangnya sudah ada kebenaran untuk Kedah Aerotropolis dibangunkan.

“Mungkin selepas itu kita akan terima deposit 125 peratus daripada anggaran kos pengambilan tanah daripada pemaju, ECK Development Sdn Bhd (ECK) yang menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV) bersama KXP AirportCity Holdings seperti disyaratkan,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, pihak swasta lain yang turut memberikan komitmen bagi menjayakan projek ini kini sedang mengadakan rundingan dengan pemilik tanah berkeluasan besar seperti Sime Darby.

“Kalau mereka setuju jalin usahasama berhubung tanah tersebut, mungkin tiada pengambilan tanah, terserah kepada pemaju dan pemilik tanah untuk putuskan.

“Syarikat tempatan lain yang nyatakan minat dan sedia beroperasi antaranya, POS Aviation dan beberapa syarikat lagi namun belum boleh didedahkan buat masa ini,” katanya.

Menurutnya lagi, khidmat nasihat dari beberapa pemain industri berkaitan pengendalian kargo dan perkhidmatan di lapangan turut dilakukan termasuk lawatan ke syarikat penerbangan dalam negara dan syarikat dari China.

Muhammad Sanusi maklumkan, konsultan baharu telah dilantik bagi menggantikan konsultan sebelum ini dari Perancis, susulan laporan dikemukakan tidak menepati sasaran.

“Laporan berkenaan tidak membantu kerana hanya unjurkan kargo yang diangkut sekitar 300 tan setahun, disebabkan itu kita lantik konsultan baharu untuk teroka potensi kargo-kargo yang akan gunakan khidmat Kedah Aerotropolis,” katanya.

Menurutnya, Kedah Aerotropolis akan muncul sebagai hab kargo dan pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) di rantau Asia seperti yang terdapat di Memphis, Amerika Syarikat.

“MRO merupakan bidang yang akan dibangunkan di Kedah Aerotropolis, yang akan muncul sebagai sebahagian daripada ‘Memphis of Asian’ selain hab kargo di China,” katanya.

Pembangunan Kedah Aerotropolis di Sidam Kiri, Kuala Muda membabitkan 3,965 hektar kawasan keseluruhan yang akan digazetkan, merangkumi lapangan terbang selain industri sokongan termasuk Sidam Logistics, Aerospace and Manufacturing (SLAM) Hub.