Kedah Aerotropolis bakal jadi kenyataan

Muhammad Sanusi (tengah) bersama wakil enam syarikat antarabangsa yang menandatangani MoU bersama Kedah Aerotropolis. - Foto Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA)
Muhammad Sanusi (tengah) bersama wakil enam syarikat antarabangsa yang menandatangani MoU bersama Kedah Aerotropolis. - Foto Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA)
A
A
A

LANGKAWI - Kedah Aerotropolis akan menjadi 'game changer' selain pemangkin kepada pembangunan 'The Greater Kedah' yang diusahakan untuk merancakkan ekonomi negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kedah Aerotropolis kini sedang mendahului semua konsep baharu ekonomi dan bakal menjadi kenyataan.

Menurutnya, tiada lagi halangan yang boleh merencatkan perancangan besar Kedah untuk merealisasikan Kedah Aerotropolis apabila beberapa syarikat antarabangsa telah menjalin kerjasama dalam fasa awal projek berkenaan.

“Diharap semua usaha yang dijalankan lancar. Perancangan Kedah Aerotropolis tidak sedikit pun terjejas selepas Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengumumkan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) batal.

“Kita akan mulakan komponen lain dahulu yang tidak memerlukan permit atau lesen bawah Kementerian Pengangkutan (MOT). Mereka (kerajaan Persekutuan) tak boleh batal sebab ia bukan projek pusat,” katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Muhammad Sanusi (tengah) menyaksikan wakil Kedah Aerotropolis dan wakil syarikat terlibat menandatangani MoU di tapak pameran Kedah Aerotropolis di LIMA’23 pada Selasa. - Foto Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA)

Pada Selasa, Muhammad Sanusi menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kedah Aerotropolis dengan enam buah syarikat antarabangsa berkaitan kargo dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’ 23).

"Antara syarikat terlibat ialah dari Australia dalam bidang MRO. Tahniah kepada pengurusan Kedah Aerotropolis yang berjaya wujudkan ekosistem lengkap untuk kita jayakan projek mega ini,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, satu MoU telah ditandatangani di Hunan, China di Lapangan Terbang Zhengzhou membabitkan Kedah Aerotropolis baru-baru ini.

“Bandar Hunan dibangunkan berasaskan kepada lapangan terbang dan ia merupakan zon ekonomi yang sangat besar di wilayah tersebut. Hunan membangun kerana adanya Aerotropolis atau lapangan terbang yang memfokuskan kepada MRO dan kargo,” jelasnya lagi.

Muhammad Sanusi (tiga dari kiri) bersama delegasi luar negara dan tempatan meninjau replika Kedah Aerotropolis yang dipamerkan. - Foto Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA)
Muhammad Sanusi (tiga dari kiri) bersama delegasi luar negara dan tempatan meninjau replika Kedah Aerotropolis yang dipamerkan. - Foto Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA)

Muhammad Sanusi memberitahu, syarikat berkenaan telah bersetuju mengadakan usaha sama dan bakal membuka cawangan di Kedah Aerotropolis.

“Zaman dahulu kita berasaskan pelabuhan, di mana ada pelabuhan di situ ekonomi membangun. Sekarang di mana ada lapangan terbang di situ lah ada pembangunan dan kepesatan ekonomi,” katanya.