Sidang DUN Negeri Sembilan tangguh

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14 sepatutnya berlangsung pada Isnin hingga Khamis ini ditangguhkan kerana Yang Dipertua DUN Datuk Zulkefly Mohamad Omar dan timbalannya, Datuk M Ravi disahkan positif Covid-19.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tarikh baharu akan dimaklumkan setelah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir untuk mendapat perkenan baginda.

"Pagi tadi saya bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malik pada jam 8 pagi mengadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan memaklumkan perkembangan Speaker dan Timbalan Speaker didapati positif Covid-19.

"Perkara ini dimaklumkan kepada baginda. Tarikh baharu akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar. Kita cuba cadangkan tarikh pada Ramadan ini," katanya dalam sidang akhbar khas di Wisma Negeri, pada Isnin.

Dalam pada itu, Aminuddin menjelaskan Speaker DUN sementara boleh dilantik tetapi memandangkan suasana Covid-19 selain ramai petugas dewan dilaporkan turut positif, persidangan tersebut terpaksa ditangguhkan.

"Sedia maklum ada Rang Undang-Undang (RUU) akan dibentang. Jadi, perlu ada Speaker dan timbalannya pada waktu tersebut (sidang DUN)," katanya.

Aminuddin berkata, Zulkefly disahkan positif pada tengah malam Ahad manakala Ravi pada Sabtu lepas.

Artikel Berkaitan: