Impak Undi18 masih tidak jelas

Pemerhatian awal menunjukkan bahawa Undi18 gagal mencipta impak ketara terhadap keputusan PRN Johor, kata penganalisis politik. (Gambar kecil: Awang Azman dan Azmi)
Pemerhatian awal menunjukkan bahawa Undi18 gagal mencipta impak ketara terhadap keputusan PRN Johor, kata penganalisis politik. (Gambar kecil: Awang Azman dan Azmi)
A
A
A

SHAH ALAM - Dengan data terhad daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berakhir baru-baru ini, pemerhatian awal menunjukkan bahawa Undi18 gagal mencipta impak ketara terhadap keputusan PRN Johor, kata penganalisis politik.

Bagaimanapun, ini tidak bermaksud Undi18 tidak akan membawa perubahan bermakna kepada politik pada masa hadapan.

PRN Johor yang dijalankan semasa kemuncak gelombang Omicron dan sejurus selepas pelaksanaan Undi18, mungkin tidak menggambarkan situasi sebenar.

Menurut Profesor Madya Dr Azmi Hassan berkata, andaian menyeluruh bahawa PRN Johor mempunyai peratusan keluar mengundi yang sangat rendah adalah tidak betul.

Jelas Azmi yang merupakan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), wujud persepsi bahawa ramai yang tidak keluar mengundi sedangkan realitinya mungkin berbeza.

“Statistik menunjukkan hanya 54.92 peratus pengundi keluar membuang undi di Johor. Kita katakan ini adalah peratusan keluar mengundi yang rendah kerana kita mengaitkannya dengan PRN Melaka atau Sarawak.

“Masalahnya, Undi18 tidak dilaksanakan semasa PRN Melaka dan Sarawak tetapi dalam kes Johor, terdapat tambahan 750,000 pengundi disebabkan perundangan Undi18,” katanya.

Berdasarkan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 14 Januari, 5.8 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas setakat 31 Disember telah didaftarkan secara automatik sebagai pengundi baharu apabila Undi18 berkuat kuasa.

Artikel Berkaitan:

Ini membawa kepada lebih 750,000 pengundi baharu di Johor, menjadikan jumlah pengundi negeri itu kira-kira 2.5 juta, daripada 1.8 juta pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Sebahagian besar pengundi baharu adalah mereka yang sudah berusia 21 tahun, tetapi tidak mendaftar sebelum ini.

Peratusan keluar mengundi PRU14 di Johor adalah 83 peratus, tetapi ini hanya merangkumi kira-kira 1.5 juta undi.

Walaupun peratusan keluar mengundi untuk PRN Johor pada 12 Mac hanya 54.9 peratus, sebenarnya sebanyak 1,426,573 undi telah dikeluarkan secara keseluruhan, iaitu lebih rendah sedikit berbanding pilihan raya sebelumnya.

Azmi berkata, ramai individu berumur 21 tahun ke atas yang sebelum ini tidak mendaftar tetapi kini layak mengundi secara automatik tidak keluar mengundi, dan peratusannya menjadi lebih rendah disebabkan kumpulan ini.

Beliau berpandangan, Barisan Nasional (BN) mendapat manfaat paling banyak daripada Undi18 di Johor apabila pengundi baharu tidak keluar mengundi kerana parti itu mempunyai penyokong kuat tersendiri yang keluar mengundi.Azmi berkata, satu sebab yang boleh menyumbang kepada penurunan jumlah keluar mengundi keseluruhan ialah ramai belia bekerja di luar negeri, malah di negara jiran, Singapura.

“Semasa pandemik, untuk pulang ke kampung halaman hanya untuk mengundi memerlukan banyak pengorbanan. Saya fikir ini boleh menjadi sebab mengapa ramai belia tidak keluar mengundi,” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, kajian lapangan sepanjang tempoh kempen PRN Johor mendapati, ramai pengundi muda Undi18 kurang celik dan kurang pemahaman mengenai situasi politik semasa.

“Hanya kira-kira 15 hingga 20 peratus sahaja yang peka dengan situasi politik terkini,” katanya sambil menambah bahawa kohort belia 18 hingga 21 tahun hanya kira-kira enam peratus daripada daftar pemilih di Johor.

Jelasnya, BN mendapat manfaat paling banyak daripada Undi18 di Johor kerana pengundi muda masih terpengaruh dengan kecenderungan politik ibu bapa mereka dan UMNO dapat memanfaatkannya kerana mempunyai lebih ramai ahli di negeri ini berbanding parti lain.