Pemilihan UMNO ditangguhkan enam bulan selepas PRU

Mohamad ketika menyampaikan ucapan pada penggulungan perbahasan PAU 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), di sini pada Sabtu.
Mohamad ketika menyampaikan ucapan pada penggulungan perbahasan PAU 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 bersetuju pemilihan parti ditangguhkan selama enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU), kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Justeru, beliau meminta agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil perhatian selepas UMNO mengemukakannya kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kerana tidak mahu ada pihak yang menghalang keputusan tersebut.

“Selaku pengerusi jawatankuasa pengurusan, saya perlu mengambil tindakan selepas ini untuk memastikan supaya apa yang telah pun diputuskan ini akan digerakkan dan diambil tindakan segera.

“Keputusannya ialah pemilihan parti akan ditangguhkan enam bulan selepas daripada PRU.

“Saya minta Perdana Menteri tolong perhatikan sedikit jika kita tulis kepada RoS. Jangan pula nanti ada orang yang menghalang keputusan parti kita kerana menterinya bukan daripada UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada penggulungan perbahasan PAU 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya bimbang sekiranya pemilihan parti diadakan sebelum PRU kerana sejarah menunjukkan bahawa setiap kali pemilihan berlaku perpecahan.

“Apa yang kita takutkan ialah menghadapi pilihan raya selepas pemilihan parti diadakan kerana sejarah menunjukkan bahawa setiap kali ada pemilihan parti, perpecahan memang berlaku. Kita jangan menidakkan ini.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak mahu parti yang sudah berada dalam keadaan baik ini bergeseran antara satu sama lain,” katanya.

Sebelum ini, Pemuda UMNO dalam ucapan dasar turut mengusulkan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti dan PAU supaya pemilihan parti hanya diadakan selepas setiap kali PRU.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pindaan perlembagaan parti bagi tujuan itu perlu dibuat bagi mengelak sebarang usaha memporak-perandakan dan melemahkan kesepaduan serta kekuatan parti.