Pernas-DIDR bantu lahirkan lebih ramai usahawan francais di Sabah

Majlis menandatangani MoU di antara Mohd Hilaluddin (duduk, kiri) dan Tseu (duduk, kanan) sambil disaksikan oleh Mohd Tamin (belakang, tengah) dan Zakaria (belakang, dua dari kiri).
Majlis menandatangani MoU di antara Mohd Hilaluddin (duduk, kiri) dan Tseu (duduk, kanan) sambil disaksikan oleh Mohd Tamin (belakang, tengah) dan Zakaria (belakang, dua dari kiri).
A
A
A

KOTA KINABALU - Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah (DIDR) dalam usaha membantu usahawan kecil bumiputera dan bukan bumiputera di Sabah yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pernas dalam satu kenyataan berkata, kerjasama itu juga bermatlamat untuk meningkatkan bilangan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Sabah untuk menceburi bidang perniagaan berlandaskan sistem francais dan pra-francais.

“Melalui kolaborasi yang dijalankan, usahawan IKS akan menerima bimbingan melalui projek 'Be Your Own Boss' (BYOB) yang diperuntukkan Pernas dengan bantuan geran sebanyak RM400,000 yang dikenali sebagai Bantuan IKS (BAIKS) di Sabah.

“Projek BYOB yang diperkenalkan tahun lalu menawarkan dua program iaitu 'Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent' (SWEET) untuk wanita dan 'Young Entrepreneurship Engagement Talent' (YOUNITY) untuk golongan belia.

“Justeru, melalui projek ini, para usahawan berpeluang mengikuti latihan berstruktur, padanan perniagaan, pembiayaan dan pemantauan perniagaan selama enam bulan apabila bermulanya perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut Pernas berkata, pihaknya turut menyasarkan 1,000 francaisi dan pra-francaisi melalui dua program tersebut berkenaan.

Sesi penyerahan replika cek kepada syarikat penerima geran MID pada Jumaat.
Sesi penyerahan replika cek kepada syarikat penerima geran MID pada Jumaat.

Menurutnya, sejak projek tersebut diperkenalkan, seramai 1,070 peserta telah mendaftar sebagai BYOB dengan peruntukkan sebanyak RM19 juta.

Artikel Berkaitan:

“Dengan kolaborasi ini, Kementerian Perindustrian Sabah (MID) akan menyalurkan geran kepada usahawan yang berjaya menyertai projek BYOB menerusi agensinya, DIDR dengan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi setiap usahawan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Pernas, Datuk Zakaria Mohd Edris berkata, seramai 20 usahawan di Sabah akan mendapat manfaat daripada kolaborasi yang dilaksanakan.

“Pernas sentiasa mencari peluang untuk bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, Kementerian, pihak swasta, penggiat industri dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan, sekali gus merancakkan pertumbuhan industri francais.

“Dengan jumlah geran yang diberikan, Pernas menawarkan pakej perniagaan daripada jenama di bawah program Business In Transformation (BIT),” katanya.

Pada Jumaat, satu perjanjian memorandum telah ditandatangani antara Pernas dan DIDR yang dihadiri Pembantu Menteri MID, Mohd Tamin Zainal, Timbalan Setiausaha Tetap II MID, Adam Valentine, Pengarah DIDR, Tseu Kei Yue, Timbalan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO (Hal Ehwal Korporat dan Kewangan), Azrul Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mohd Hilaluddin Abd Shukor.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!