Efluen bocor cemari alur air, kilang sawit didenda RM70,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN – Sebuah kilang sawit yang terlibat dalam insiden pencemaran Sungai Pukin, Rompin Julai tahun lalu didenda RM70,000 di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini, pada Jumaat atas kesalahan di bawah Seksyen 121(1)(c) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam kenyataannya berkata, kilang terbabit telah menyebabkan pencemaran alur air yang mengalir ke Sungai Pukin hingga Sungai Keratong dengan efluen industri yang berkemungkinan boleh membahayakan nyawa penduduk.

Menurut kenyataan itu, insiden pencemaran sungai berkenaan berpunca dari kebocoran tebing pada kolam takungan efluen industri di kilang sawit tersebut.

“Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) pada 6 Julai tahun lalu menerima laporan tentang berlakunya pengaliran masuk efluen industri ke alur air sungai berkenaan.

“Berikutan insiden tersebut, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Keratong terpaksa dihenti tugas selama sembilan hari bermula 7 hingga 16 Julai 2021 berikutan sumber air mentahnya berminyak dan berbau,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

SPAN berkata, keputusan analisis makmal menunjukkan kandungan sumber air mentah itu mengandungi kandungan ammoniacal nitrogen, nitrate nitrogen dan merkuri melebihi piawaian yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kejadian itu mengakibatkan berlakunya gangguan bekalan air melibatkan 11,500 akaun pengguna di sekitar kawasan tersebut,” katanya.

Jelasnya, mana-mana pihak didapati bersalah di bawah Seksyen 121(1)(c) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 boleh dihukum di bawah Seksyen 121(2)(c) akta sama dengan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

“Kes pendakwaan SPAN ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan penggiat industri air dan orang awam tentang tanggungjawab untuk mematuhi peruntukkan-peruntukan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan perundangan subsidiari di bawah akta tersebut,” jelasnya.