Dampak dasar dan pengurusan fiskal kepada sosioekonomi Malaysia

No Image Caption
A
A
A

Penggubal dasar mempunyai peranan penting dalam mempengaruhi pertumbuhan ekonomi, sekali gus mendorong kestabilan dan kesejahteraan dalam kehidupan masyarakat dan negara melalui penetapan dasar dan pengurusan fiskal yang mapan.

Dalam tempoh pelaksanaan Model Baru Ekonomi (MBE) 2010-2020, PEMANDU memainkan peranan besar dalam hala tuju transformasi kerajaan dan ekonomi sebelum berlaku pertukaran parti pemerintah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada tahun 2018.

Pada tahun 2010, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan juga Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU, Datuk Seri Idris Jala memberi amaran kemungkinan negara bankrap kerana hutang kerajaan akan mencapai 100 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2019.

Justeru itu, beliau menyatakan strategi menghentikan atau mengurangkan subsidi diperlukan kerana rancangan fiskal negara terbeban dan subsidi mengalih penggunaan hasil daripada keperluan lebih strategik dan kerajaan perlu mengawal pinjaman sedia ada.

Hutang dan liabiliti

Hutang ialah jumlah pinjaman kerajaan daripada pihak lain untuk menampung belanjawan. Ia terhasil daripada jumlah belanjawan defisit setiap tahun apabila perbelanjaan kerajaan bagi tahun tersebut lebih daripada hasil yang dikutip.

Dalam keadaan biasa, hutang tidak semestinya menjadi masalah. Bahkan, boleh berfungsi menyelesaikan masalah dan mendorong pertumbuhan. Bagaimanapun, jika tidak diurus dengan baik, hutang boleh menjadi tambahan masalah.

Artikel Berkaitan:

Memahami konsep hutang kerajaan ini penting kerana ia mempunyai kaitan rapat dengan ruang fiskal untuk kerajaan mendorong pertumbuhan. Sesebuah kerajaan lazimnya berhutang kerana beberapa sebab iaitu perbelanjaan yang tinggi dalam keadaan biasa; kutipan hasil yang rendah; krisis tertentu yang memerlukan bantuan dan rangsangan besar; dan projek-projek berkeperluan khas.

Pada tahun 2018, timbul pertikaian apabila menteri kewangan ketika itu mengumumkan hutang negara telah mencecah RM1 trilion. Ia dinafikan oleh menteri kewangan sebelum itu yang mendakwa pada akhir tahun 2017, jumlah hutang kerajaan hanyalah sekitar RM686 bilion.

Sebenarnya, tidak ada percanggahan antara keduanya. Dunia kini menggunapakai perakauanan asas akruan, berbanding asas tunai untuk mendedahkan risiko sebenar hutang dan liabiliti kerajaan.

Daripada kenyataan menteri kewangan, jumlah hutang dan liabiliti yang ditanggung oleh kerajaan kini berada pada tahap 89.2 peratus KDNK. Jumlah bayaran khidmat hutang kini berada pada tahap 18 peratus setahun. Dalam maksud lain, bagi setiap RM1 cukai yang dikutip, sebanyak 18 sen digunakan untuk membayar khidmat hutang. Ringkasnya, kita masih tidak mampu untuk mengawal perbelanjaan dan pinjaman kita.

Sejak tahun 2010, perbelanjaan mengurus terus meningkat sehingga ke tahap hampir 100 peratus jumlah kutipan hasil kerajaan. Ini menjadikan perbelanjaan pembangunan berada di tahap sangat minimum, sehingga kurang daripada satu peratus. Ini memaksa kerajaan berhutang atau menjamin hutang yang dibuat oleh entiti berkaitan kerajaan.

No Image Caption

Pandemik Covid-19 telah memaksa kerajaan meningkatkan had statutori sebanyak dua kali, daripada 55 peratus KDNK kepada 60 peratus KDNK pada Oktober 2020, dan daripada 60 peratus KDNK kepada 65 peratus KDNK pada Oktober 2021.

Akta 637 dan Akta 275 memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan pembiayaan daripada pasaran tempatan hanya bagi tujuan pembangunan atau membayar hutang yang telah matang (debt-rollover, atau berhutang untuk membayar hutang).

Akta 403 pula mengehadkan pinjaman luar negeri hanya kepada RM35 bilion, bagi mengelak kesan naik turun mata wang. Akta 96 membenarkan kerajaan menjadi penjamin kepada badan korporat, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan, syarikat kerajaan negeri dan anak-anak syarikat masing-masing tanpa ditetapkan hadnya.

Dampak sosioekonomi

Memandangkan perbelanjaan mengurus sangat tinggi, perbelanjaan pembangunan di negara kita hampir 100 peratus dibuat dengan cara berhutang atau di luar belanjawan (off-budget) oleh pelbagai entiti.

Ini berlaku meskipun kerajaan telah mengurangkan kadar subsidi daripada setinggi RM74 bilion kepada hanya sekitar RM23 bilion dari tahun 2009 ke tahun 2017, dan kerajaan telah memperkenalkan GST pada tahun 2015, sebelum dimansuhkan pada tahun 2018.

Semakin tinggi jumlah bayaran khidmat hutang tahunan, semakin sempit ruang fiskal kerajaan untuk berbelanja bagi tujuan lain, sama ada bagi pembangunan kesihatan, pendidikan dan sebagainya.

Persaingan politik populis yang menumpukan kepada agihan semula kekayaan untuk menunjukkan kerajaan mana “beri lebih” tidak membantu pemahaman masalah dan langkah pemulihan yang diperlukan bagi menjamin kemapanan fiskal negara jangka masa sederhana dan panjang. Ini dirumitkan pula dengan jurang ekonomi antara individu, negeri dan wilayah serta peluang-peluang untuk keluar daripada kitaran kemiskinan.

Situasi menjadi lebih genting dengan krisis pandemik Covid-19 yang memaksa kerajaan meningkatkan siling hutang bagi membolehkan perbelanjaan lebih besar dibuat. Krisis pandemik Covid-19 boleh dikatakan menyerlahkan lagi kerapuhan dasar dan pengurusan fiskal negara sekiranya tidak diberi perhatian dan diuruskan dengan baik.

Di samping itu, kadar perbelanjaan emolumen, pencen dan khidmat hutang meningkat lebih tinggi berbanding kadar pertumbuhan ekonomi dari tahun ke tahun. Dengan kenaikan perbelanjaan emolumen yang meningkat lebih tinggi berbanding pertumbuhan ekonomi dari tahun ke tahun, boleh dijangkakan tanggungan untuk pencen ini akan terus tinggi pada masa akan datang.

Oleh kerana tanggungan emolumen dan pencen sedia ada tidak boleh atau hampir mustahil untuk diubah, kerajaan tidak mempunyai banyak pilihan kecuali mengurangi atau memansuhkan subsidi dan bantuan sosial. Pengurangan subsidi telah dilakukan sejak tahun 2014 dan jumlahnya sudah semakin mengecil, tetapi belum terlihat memberi kesan signifikan dalam mengurangkan perbelanjaan mengurus yang terus berada pada tahap tinggi berbanding hasil kerajaan.

Akibat daripada belanja mengurus yang tinggi, kerajaan berkemungkinan besar tidak dapat menyerap lebih banyak perjawatan tetap dalam tempoh masa terdekat, bahkan mungkin akan meningkatkan had usia pencen untuk menyerap kos bayaran pencen yang kian membesar. Bagi perjawatan baru pula, kerajaan berkemungkinan menukar skim saraan kepada caruman simpanan hari tua (pay as you go).

Bagaimanapun, berdasarkan rekod pendapatan dan unjuran pertumbuhan rakyat Malaysia, kerajaan perlu menyediakan perbelanjaan mengurus yang tinggi dalam bentuk bantuan sosial pada masa akan datang kerana majoriti besar rakyat Malaysia berpendapatan rendah Justeru itu, tidak mempunyai cukup simpanan dan jangka hayat lelaki dan wanita di Malaysia kini berada pada kadar usia 72 dan 74 tahun.

Bayaran khidmat hutang akan terus bertambah memandangkan ruang fiskal kerajaan yang sangat kecil dan tidak mungkin dapat diperbetulkan dalam jangka masa sederhana. Selaras dengan itu, Akta Pertanggungjawaban Fiskal sangat diperlukan bagi memastikan perbelanjaan pembangunan disalurkan secara cekap – di tempat paling memerlukan, membawa pulangan ekonomi yang tinggi, pada harga patut, menyelesaikan masalah asas kehidupan seperti rumah, air, elektrik serta akses pendidikan, kesihatan dan pengangkutan – dan disiapkan dalam tempoh sepatutnya.

Selain GST, kerajaan mungkin akan memperkenalkan pelbagai cukai lain untuk memenuhi keperluan hasil bagi menampung perbelanjaan mengurus yang akan terus meningkat. Dengan jumlah pembayar cukai pendapatan yang tidak cukup meluas, ia menarik insentif untuk orang ramai tidak membayar cukai dan pelabur keluar ke tempat yang menyediakan insentif lebih baik.

Kaedah menambah percukaian dan rasionalisasi subsidi yang dijalankan tidak mencukupi kerana ia terbatas dan lambat laun akan sampai ke penghujung, di mana dari segi politiknya, ia semakin sukar diterima kerana memberi tekanan tambahan kepada majoriti penduduk yang berpendapatan rendah. Kerajaan juga perlu mengkaji kesan-kesan dasar yang memperlahankan bahkan mengekang pergerakan modal, barangan dan perkhidmatan yang mengekang inovasi dan pertumbuhan seluruhnya.

Bagi mengatasi situasi yang rumit ini, kerajaan sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan selain mengamalkan perbelanjaan berhemah dengan perancangan perbelanjaan yang lebih teliti. Mengambil kira sensitiviti sesetengah aspek dalam dasar dan pengurusan fiskal ini, iltizam politik sangat diperlukan bagi memahami dan menentukan strategi terbaik dalam menangani isu-isu yang akan timbul dari semasa ke semasa.

NOTA:

Noor Amin Ahmad ialah Ahli Parlimen Kangar, Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur Awam dan Pengerusi Kaukus Ahli Parlimen Muda Dewan Rakyat. Beliau pernah menjadi ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Belanjawan dan ahli jawatankuasa pemandu Jaringan Ahli Parlimen Muda Bank Dunia.

* Artikel ini merupakan kerjasama dan sokongan Kaukus Ahli Parlimen Muda Dewan Rakyat.