Cadangan semakan semula tarif air tidak wajar

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN - Permohonan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk menyemak semula tarif air tidak kena pada masanya susulan ekonomi Pulau Pinang dilihat belum pulih sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.

Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, cadangan itu tidak wajar pada waktu ini kerana rakyat masih bergelut dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Sehubungan itu, beliau memohon agar kerajaan Pusat menolak permohonan PBAPP untuk menyemak semula tarif air di Pulau Pinang.

"Tarif air di Pulau Pinang telah dinaikkan beberapa kali sejak 14 tahun parti DAP memerintah di sini. Dalam keadaan rakyat masih bergelut dengan kehidupan akibat Covid-19 selain ekonomi belum pulih, kerajaan negeri pula mahu menaikkan tarif air.

"Adakah ini tandanya kerajaan negeri di bawah DAP mahu melihat rakyat terus sengsara? Semua pihak harus memberi tumpuan dalam memacu pembangunan ekonomi Pulau Pinang, menambah baik serta meningkatkan kehidupan rakyat buat masa ini, bukannya membebankan rakyat selain memburukkan lagi keadaan yang dihadapi rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan PBAPP yang akan memohon semakan semula tarif air bagi 2022 yang akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Menurut PBAPP, permohonan itu bagi meningkatkan dana untuk projek dalam memastikan kecukupan air di Pulau Pinang sehingga 2030.

Tong Keong berkata, PBAPP sepatutnya mengemukakan cadangan kenaikan tarif air pada masa yang sesuai dan bukannya pada waktu ini.

Artikel Berkaitan:

"PBAPP tidak seharusnya membuat cadangan itu dalam tempoh masa ini kerana kehidupan rakyat masih terkesan akibat Covid-19. Mereka sepatutnya bersimpati dan prihatin terhadap keadaan yang dihadapi rakyat, bukan melaksanakan sesuatu dasar yang akan membebankan rakyat.

"Mana-mana pihak perlu mengutamakan kepentingan rakyat buat masa ini. Kerajaan negeri perlu memandang serius tekanan kewangan yang bakal dihadapi rakyat jika tarif air dinaikkan kelak," katanya.