Saya sedia kembali selepas Pas diuruskan dengan betul: Khairuddin

Mohd Khairuddin Aman Razali
Mohd Khairuddin Aman Razali
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menjelaskan keputusan berhenti daripada keanggotaan Pas adalah bersifat sementara.

Malah beliau sedia kembali kepada parti itu setelah matlamat melihat Pas diuruskan dengan betul, tercapai.

Menurutnya, keputusan diumumkan bukan bermakna mahu meninggalkan Pas, sebaliknya demi menyelamatkan parti yang amat disayangi.

“Kerana ada perkara saya tidak boleh bercakap yang tidak boleh saya betulkan selagi saya berada dalam Pas kerana parti ada peraturan, ada disiplin yang perlu dipatuhi. Berlaku banyak kecelaruan dalam pengurusan parti.

“Saya bukan keluar Pas. Bila saya kata berhenti, sifatnya sementara dengan tujuan tertentu. Satu hari, saya akan kembali kepada Pas menjadi anggota kepada organisasi Pas sekiranya pemimpin masih menerima keahlian saya.

“Saya perlu ambil satu kaedah iaitu berada di luar parti sementara waktu untuk menyedarkan dan memberi pandangan kepada pimpinan-pimpinan parti untuk kembali menguruskan parti dengan cara yang betul,” katanya dalam satu temu bual yang disiarkan di Bernama TV pada Selasa.

Mohd Khairuddin mendakwa, sejak akhir-akhir ini kepimpinan tertinggi Pas membuat keputusan bercanggah dengan dasar dan perlembagaan parti dan ia datang daripada proses yang salah, sekali gus akan memberi kesan kepada masa depan Pas sendiri.

Beliau memberi contoh, antara keputusan bercanggah dengan dasar Pas ialah penubuhan Perikatan Nasional (PN) yang tidak mengikut prosedur sepatutnya berbanding dengan Muafakat Nasional (MN).

Artikel Berkaitan:

"Menjadi dasar parti ialah kerjasama melalui MN. Ini adalah dasar parti yang dibuat dengan sangat hebat,”katanya.

Jelas beliau, penubuhan MN bermula dengan kertas kerja oleh Jawatankuasa Pas Pusat kemudiannya dibawa ke Majlis Syura Ulamak dan diluluskan kemudian dibawa ke Muktamar Pas Pusat sebanyak dua kali pada 2018 dan 2019.

"Akhirnya kita bersetuju untuk menubuhkan MN dan draf MN dibawa ke Jawatankuasa Pas Pusat, selepas itu dibawa ke Majlis Syura.

"Draf itu kemudiannya dibetulkan oleh Jawatankuasa Pas Pusat dan dibawa sekali lagi ke Majlis Syura barulah ditandatangani di hadapan ahli-ahli Pas dan UMNO pada 14 September 2019 di PWTC,” katanya.

Tambah beliau lagi, proses berkenaan mengikut perlembagaan parti, sebaliknya apa yang berlaku dengan PN, ia ditubuhkan tidak mengikut lunas perlembagaan parti.

"Hanya dengan tandatangan oleh Presiden dengan nasihat dua tiga orang sahaja. Tanpa dibawa ke Dewan Harian Pas, tanpa dibawa ke Majlis Syura. Belum dipersetujui sudah ditubuhkan. Ini contoh kesilapan," katanya.

Justeru beliau berharap ahli dan pemimpin Pas dapat mendesak agar kepimpinan tertinggi memperbetulkan semula kesilapan.