'Dewan panas apabila isu duit GST 'dirompak' BN

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ditemubual oleh pengamal media selepas keluar dari Dewan Rakyat. FOTO: ZAHID IZZAN
A
A

KUALA LUMPUR - Sesi Perbahasan Dewan Rakyat pagi ini, gamat dan panas susulan dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (PH-Bagan) bahawa wang tuntutan cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion telah 'dirompak' kerajaan sebelum ini.

Dakwaan Guan Eng itu lantas menimbulkan perasan kurang senang Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang menyifatkan ia tidak berasas.

"Mengikut kajian daripada kita ia tidak dirompak, duit itu tidak dibawa ke mana-mana kecuali digunakan oleh kerajaan mungkin untuk tujuan yang lain, mohon Yang Berhormat jelaskan," katanya, di Dewan Rakyat.

Menjawab kepada soalan itu, sebaliknya, Guan Eng memberitahu, jumlah RM19.4 bilion hutang bayaran balik GST itu adalah jumlah yang besar dan tidak dipulangkan selama lebih dua tahun dengan Petronas selain anak-anak syarikat dibebani hutang dengan jumlah sebanyak RM4.2 bilion.

Jawapan itu jelas sekali lagi menimbulkan rasa tidak puas hati Tajuddin serta beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang lain.

"Saya bertanya RM19 bilion itu sama ada dirompak itu adakah betul, kita tiada masa. Yang Berhormat tak menjawab soalan saya.

"RM19.4 bilion tuduhan merompak serius, kalau dalam Islam dosa besar, tuduh orang. Saya nasihatkan Yang Berhormat supaya jadi pemimpin yang baik jangan tuduh sembarangan, malu seluruh dunia mendengar," katanya.

Mendengar pertanyaan Tajuddin itu, Guan Eng berkata, beliau sedia menjadi pemimpin yang baik seperti mana yang disarankan Tajuddin.

"Saya setuju akan jadi pemimpin yang baik seperti disarankan Yang Berhormat dengan bercakap benar.

"Sememangnya wang ini yang sepatutnya dibayar balik tetapi tidak dibayar balik , sungguhpun lebih dua tahun," tegasnya.