Ingkar arahan: Polis rekod keterangan SUSK JPM

Tangkap layar video tular memaparkan pegawai APM ingkar arahan komander operasi bencana ketika kejadian tanah runtuh di kawasan Jalan Mega Jaya, Taman Mega, Ampang minggu lalu. Mohamad Farouk (gambar kecil)
Tangkap layar video tular memaparkan pegawai APM ingkar arahan komander operasi bencana ketika kejadian tanah runtuh di kawasan Jalan Mega Jaya, Taman Mega, Ampang minggu lalu. Mohamad Farouk (gambar kecil)
A
A
A

AMPANG - Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang ingkar arahan ketika kejadian tanah runtuh di kawasan Jalan Mega Jaya, Taman Mega, di sini, telah direkod keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada Isnin.

Pegawai terbabit yang juga merupakan Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Jabatan Perdana Menteri hadir pada jam 8 malam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, keterangan lelaki berusia 38 tahun yang dilantik sebagai Penolong Pesuruh Jaya Kehormat APM itu selesai pada jam 11 malam di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya.

Tambahnya, suspek yang menularkan rakaman video kes terbabit juga hadir di IPD Ampang Jaya pada jam 4.30 petang hari yang sama (Isnin).

"Suspek merupakan seorang lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan anggota sukarelawan APM itu kemudian ditahan kerana positif dadah jenis syabu selain memiliki aplikasi perjudian dalam talian di telefon bimbit miliknya.

"Anggota sukarelawan berusia 43 tahun ini dibawa ke Mahkamah Ampang dan kini direman tiga hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohamad Farouk turut mengesahkan seramai lima pegawai dan anggota APM Hulu Langat akan hadir ke IPD Ampang Jaya pada jam 1 petang, Selasa.

Jelasnya, ia bagi tujuan merekod keterangan berkaitan kes video tular ketika kejadian tanah runtuh di kawasan Taman Megah Jaya, Bukit Permai.

Artikel Berkaitan:

Sabtu lalu, video berdurasi 55 saat itu disebarkan oleh seorang pemilik akaun Facebook yang memaparkan seorang pegawai APM ingkar arahan yang diberikan oleh komander operasi bencana kerana masuk ke lokasi bencana tanpa kebenaran.

Susulan tular video terbabit, Mohamad Farouk berkata, ia menjejaskan reputasi pihak polis terutama IPD Ampang Jaya serta boleh disalah tafsir oleh orang ramai.

Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (KK), iaitu mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam; Seksyen 188 KK iaitu mengingkari perintah diisytiharkan oleh penjawat awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.