Kompleks Pendidikan Pas dibina hujung 2023

Muktar (dua dari kiri) menyampaikan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak kepada guru yang terlibat di Majlis Konvokesyen Perguruan Pasti Malaysia ke-12, pada Selasa.
Muktar (dua dari kiri) menyampaikan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak kepada guru yang terlibat di Majlis Konvokesyen Perguruan Pasti Malaysia ke-12, pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebuah pusat pentadbiran melibatkan tiga institusi pendidikan di bawah Pas akan dibina hujung tahun hadapan bagi memastikan penyelarasan gerak kerja dilaksanakan sebaik mungkin.

Ketua Sektor Pendidikan Pemuda Pas, Muktar Suhaili berkata, idea penubuhan kompleks pendidikan berkenaan tercetus melalui pemukiman yang dilaksanakan pihaknya tahun lalu.

"Cadangan ini timbul bagi membantu memudahkan pengurusan dan penyelarasan pendidikan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Islam (SMITI) diseragamkan di satu tempat.

"Sehingga kini, kita mempunyai 2,626 buah Pasti, 152 SRITI dan 12 SMITI.

Dengan adanya kompleks pendidikan itu nanti, ia dijangka dapat membantu mengkoordinasikan semua pengurusan melibatkan institusi pendidikan yang kita ada," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Beliau hadir merasmikan Majlis Konvokesyen Perguruan Pasti Malaysia ke-12 sesi kedua di sebuah hotel di sini.

Seramai 471 guru menerima Sijil Perguruan Pasti Malaysia dan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di majlis berkenaan.

Mengulas lanjut, Muktar berkata, untuk merealisasikan cadangan tersebut, pihaknya kini telah merangka beberapa perkara asas termasuklah menetapkan lokasi iaitu sekitar Lembah Klang bagi pembinaan kompleks berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perbincangan selanjutnya akan dilakukan dari semasa ke semasa termasuklah untuk menetapkan kos pembinaan dan sebagainya.

"Insya-ALLAH kita akan melangkah selangkah lagi dengan pembinaan kompleks pendidikan berkenaan selepas ini bagi membawa kejayaan yang lebih cemerlang dalam bidang pendidikan.

Dengan adanya kompleks itu diharap nanti akan dapat memberi manfaat kepada semua guru dan tenaga pentadbir," katanya.