Kerja pemasangan rel ECRL mula hujung tahun ini

Khairi Khalid (tengah) bersama Pengurus Pembinaan Seksyen 6A MRL, Mohd Nor Nahar Abd Hadi (kiri) dan Pengurus Pembinaan Seksyen 6B, Tan Voon Seong.
Khairi Khalid (tengah) bersama Pengurus Pembinaan Seksyen 6A MRL, Mohd Nor Nahar Abd Hadi (kiri) dan Pengurus Pembinaan Seksyen 6B, Tan Voon Seong.
A
A
A

KUANTAN - Kerja-kerja pemasangan rel Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka dilaksanakan penghujung tahun ini bermula dari Gebeng di sini ke Dungun, Terengganu melibatkan jajaran sepanjang kira-kira 90 kilometer (km).

Kerja-kerja pemasangan rel itu dijangka mengambil masa antara tiga hingga empat bulan sebelum dilanjutkan ke peringkat seterusnya melibatkan jajaran Gebeng Ke Temerloh.

Pengurus Pembinaan Wilayah (Pahang) Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Khairi Khalid Abdul Rahman berkata, pemasangan rel yang akan bermula di Pahang mengikut perancangan awal memandangkan jentera dan material dibawa dari China melalui Pelabuhan Kuantan.

Menurutnya, jentera dan peralatan dijangka tiba Oktober atau November tahun ini sebelum kerja-kerja pemasangan rel dimulakan.

"Kerja-kerja pemasangan rel bagi laluan Gebeng ke Dungun dijangka dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan dengan sasaran pemasangan sepanjang 1.5 km sehari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama ECRL di sini pada Rabu.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Khairi Khalid berkata, sehingga April lalu, perkembangan projek ECRL melibatkan jajaran sepanjang 230 km di Pahang telah mencapai 43 peratus.

Wan Rosdy (empat dari kiri) hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama ECRL pada Rabu.
Wan Rosdy (empat dari kiri) hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama ECRL pada Rabu.

"Daripada keseluruhan panjang jajaran di Pahang itu, 153 km adalah laluan atas tanah, jambatan (43 km) dan terowong (38km).

"Daripada 33 terowong keseluruhan, 20 daripadanya yang berada dalam kawasan negeri ini telah ditembusi," katanya.

Beliau berkata, ketika ini kerja-kerja pembinaan jambatan rancak dijalankan melibatkan proses pemasangan rasuk (beam) menggunakan dua jentera pelancar yang berada di Kuantan dan Temerloh.

Sementara itu katanya, bilangan pekerja dijangka bertambah sehingga 23,000 orang menjelang tahun hadapan berbanding kira-kira 19,000 melibatkan keseluruhan projek ketika ini.

"Daripada jumlah pekerja ketika ini, 40 peratus atau 8,000 pekerja berada dalam kawasan tapak bina di Pahang.

"Peningkatan bilangan pekerja itu bagi menampung keperluan untuk kerja-kerja bangunan dan pemasangan rel yang akan bermula penghujung tahun ini," jelasnya.

Sementara itu katanya, kes-kes kemalangan melibatkan pekerja di tapak projek ECRL rendah hanya kira-kira 0.2 peratus berbanding bilangan pekerja yang ada.