Legasi 35 tahun Zara Foodstuff Sdn Bhd

Dinobat Anugerah Ikon Usahawan Negeri Johor 2021

A
A
A

Mohd Nazri menunjukkan produk keluaran Zara Foodstuff Industries Sdn Bhd bersama trofi Anugerah Ikon Usahawan Negeri Johor 2021.
Mohd Nazri menunjukkan produk keluaran Zara Foodstuff Industries Sdn Bhd bersama trofi Anugerah Ikon Usahawan Negeri Johor 2021.

SIAPA sangka bermula dengan 10 pekerja, kini Zara Foodstuff Industries yang juga pengeluar kicap Cap Kipas Udang boleh menjadi jenama yang kekal relevan serta terus bertahan di pasaran tempatan mahupun antarabangsa.

Kicap Cap Kipas Udang yang signifikannya telah menjadi ramuan di dapur rata-rata masyarakat di negara ini juga dilihat terus diyakini jenamanya apabila telah berjaya melakar pelbagai kejayaan sejak mula menempuhi pasaran pada tahun 1987.

Terbaharu, legasi jenama tempatan dihasilkan Zara Foodstuff Sdn Bhd itu terus memacu kegemilangan apabila syarikat berkenaan telah dinobat sebagai pemenang Anugerah Ikon Usahawan Negeri Johor bagi tahun 2021.

Dalam meniti tempoh 35 tahun terus menerima permintaan pelanggan, Zara Foodstuff Industries Sdn Bhd kini telah mempunyai sebanyak 12 produk yang mana pada awalnya hanya bermula dengan jualan Kicap Cap Kipas Udang dengan dua perisa berbeza.

Produk dihasilkan syarikat berkenaan juga bukan sahaja menerima permintaan di pasaran tempatan malah turut dieksport ke luar negara iaitu bagi memenuhi pasaran di Singapura, Brunei, United Kingdom (UK), Australia, Kanada dan Arab Saudi.

Artikel Berkaitan:

MOHD NAZRI
MOHD NAZRI

Pengarah Kilang Zara Foodstuff Industries Sdn Bhd, Mohd Nazri Ismail berkata, pencapaian itu dilihat sebagai satu penanda aras yang baik bagi perkembangan syarikat selepas meniti perjalanan jauh untuk kekal diyakini pelanggannya.

"Pencapaian ini adalah sesuatu bermakna bagi kami semua di Zara Foodstuff Industries Sdn Bhd, dan pastinya ia adalah pulangan kepada hasil kerja keras semua pihak dan paling utama jasa pengasas-pengasas kita iaitu Allahyarham Datuk Lambak Mohamad, Allahyarham Datuk Zainal Abidin Lambak dan Datuk Zolkifli Lambak.

"Tempoh 35 tahun ini bukan sekejap, ia telah banyak diramu dengan keringat, kerja keras dan usaha berterusan. Jadi ia memang amat bermakna untuk terus kekal berada di landasan tepat bagi memacu lebih banyak kejayaan selepas ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kilang Zara Foodstuff Industries Sdn Bhd di Johor Bahru, baru-baru ini.

Sejarah awal syarikat

Mengimbau kembali perjalanan syarikat, Mohd Nazri berkata, Zara Foodstuff Industries Sdn Bhd bermula dengan 10 pekerja di sebuah lot rumah kedai yang ketika itu pengasas syarikat sendiri terlibat bagi meramu bahan-bahan untuk menghasilkan produknya tanpa menggunakan mesin serba canggih.

Katanya, perniagaan itu bermula apabila pengasas dipelawa oleh seorang kenalannya untuk memulakan perniagaan menjual kicap yang mana kandungan serta rasa produk berkenaan memang telah mendapat sambutan di negara jiran, Singapura tetapi belum memasuki pasaran negara.

Jelasnya lagi, atas iltizam dan semangat membara untuk terus berjaya dalam bidang perniagaan, pengasas menggunakan wang simpanannya untuk melabur dalam perniagaan itu dan hasilnya, kicap Cap Kipas Udang yang merupakan produk pertama daripada Zara Foodstuff Industries Sdn Bhd terhasil.

"Berdasarkan apa yang diberitahu pada saya, pada ketika 1987 pengasas mahu memulakan perniagaan, beliau juga sampai perlu mengadaikan rumahnya untuk mendapatkan modal kapita bagi menjalankan perniagaan ini.

"Ketika itu syarikat bermula di Jalan Tahana (Johor Bahru) di rumah kedai, waktu itu pengeluaran produk kami hanya sebanyak 10,000 hingga 20,000 botol sebulan. Produk juga dihasilkan sendiri oleh pengasas bersama 10 orang sahaja pekerjanya.

"Daripada pahit jerih yang dialami oleh pengasas dan syarikatnya, kita berjaya melihat satu kejayaan besar. Bermula kecil-kecilan kini syarikat mempunyai 250 pekerja daripada pengurusan hingga tenaga kerja operasi," katanya.

Peredaran zaman juga menyaksikan syarikat turut menyesuaikan diri dengan iklim terkini industri perniagaan negara apabila berjaya membuka sebuah kilang yang lengkap dengan mesin penghasilan.
Peredaran zaman juga menyaksikan syarikat turut menyesuaikan diri dengan iklim terkini industri perniagaan negara apabila berjaya membuka sebuah kilang yang lengkap dengan mesin penghasilan.

Beliau berkata, peredaran zaman itu juga menyaksikan syarikat turut menyesuaikan diri dengan iklim terkini industri perniagaan negara apabila berjaya membuka sebuah kilang yang lengkap dengan mesin penghasilan.

"Kalau dulu permintaan kita adalah terhad, kini boleh kita katakan memang jauh berbeza apabila sebulan sahaja sebanyak 1.5 juta hingga 2 juta produk boleh dihasilkan.

"Pada awal penubuhan janaan pendapatan kita hanya mencecah sehingga RM200,000 setahun tetapi kini dalam tempoh sama angkanya boleh kita simpulkan sebanyak RM90 juta ke RM100 juta," katanya.

Menempuh pandemik Covid-19

Meskipun dilabel sebagai sebuah syarikat kukuh strukturnya, Zara Foodstuff Industries Sdn Bhd juga tidak boleh lari daripada era kesempitannya. Mengakui perkara itu, Mohd Nazri berkata, pandemik Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada awal 2020 adalah satu cabaran besar dalam sejarah syarikat.

Katanya, walaupun perkara itu pada akhirnya berjaya diatasi, apa yang paling menbanggakan adalah syarikat berjaya memenuhi matlamat utama pemiliknya iaitu tidak membelakangkan pekerja dan sentiasa menjaga kebajikannya.

"Kita ada masalah ketika mula-mula kerajaan arahkan penutupan sementara kilang, lebih kurang dua minggu waktu itu saya tidak nafikan syarikat memang terjejas teruk, pengeluaran tiada tetapi gaji pekerja perlu dibayar. Memang mencabar.

"Kemudian baru kerajaan benarkan sebanyak 60 peratus pembukaan, tetapi sebenarnya memang tidak boleh sebab kita tidak boleh keluarkan maksimum kapasiti. Tetapi dengan cabaran itu kita kekal dengan perinsip tidak akan memberhentikan pekerja dan bayar gaji mereka penuh.

"Zara Foodstuff Industries Sdn Bhd punya konsep kita tidak akan berhentikan pekerja walaupun mereka yang berumur lebih kita tidak buang. Itu apa yang pemilik kita mahukan iaitu jangan menganiaya pekerja, sebab pekerja lama ini yang telah membantu kita sehingga ke tahap ini," katanya.

Anugerah beri motivasi

Pengiktirafan sebagai Ikon Usahawan Negeri Johor 2021 memberikan semangat kepada seluruh warga Zara Foodstuff untuk terus maju ke hadapan dan memberikan inspirasi kepada usahawan-usahawan lain.
Pengiktirafan sebagai Ikon Usahawan Negeri Johor 2021 memberikan semangat kepada seluruh warga Zara Foodstuff untuk terus maju ke hadapan dan memberikan inspirasi kepada usahawan-usahawan lain.

Diangkat sebagai Ikon Usahawan Negeri Johor bagi tahun 2021, Mohd Nazri berkata, anugerah itu merupakan pencapaian terbaik pernah dicapai syarikat yang mana sedikit-sebanyak begitu memberi motivasi kepada pihak mereka untuk terus memacu kegemilangan bersama.

Beliau berkata, sudah tentu dengan penganugerahan berkenaan, apa yang ingin dicapai juga bukan semata-mata keuntungan di masa hadapan tetapi ingin menjadi sumber inspirasi kepada pengusaha dan usahawan untuk terus berusaha keras bagi mengukuhkan perniagaan mereka.

"Anugerah ini memberikan kita satu motivasi, sebab kita dah bertapak selama 35 tahun dan diharap dapat menjadi inspirasi kepada pengusaha-pengusaha perniagaan lain. Apa yang paling utama adalah kita perlu sentiasa berusaha untuk mempertahankan apa jua dilakukan.

"Untuk bertahan itu bukan mudah, kita perlukan usaha dari semua sudut. Paling utama jika kita di sektor penghasilan, pastikan produk dikeluarkan itu berkualiti. Kena jaga produk itu jika dari awal kualitinya begitu jangan sesekali kita ubah hanya kerana mahu mengaut keuntungan lebih.

"Satu lagi adalah kita memerlukan sistem, bila berniaga lain caranya begitu juga selepas perniagaan itu semakin luas, kena ikut peredaran zaman. Sebab itu syarikat tidak kisah untuk melabur bagi mendapatkan kepakaran tenaga kerja," katanya.

Dalam pada itu, ditanya bagaimana Zara Foodstuff Industries Sdn Bhd boleh kekal relevan sebagai jenama yang diyakini, Mohd Nazri berkata, apa yang paling utama dalam perniagaan adalah tidak membandingkan produk mereka dengan produk-produk seumpama di pasaran.

"Apa yang kita tetapkan di sini adalah kita keluarkan satu produk tidak berdasarkan pada pesaing kita, apa yang kita mahu adalah produk kita sentiasa menjaga kualiti dan bahan digunakan kekal premium dan terbaik.

"Jadi untuk penetapan harga kita memang letak harga yang setimpal, kita tidak mengikut pesaing lain dan sekadar tidak merendahkan harga hanya kerana ingin bersaing, Kita yakin kita boleh jual kualiti yang memang dicari oleh pelanggan," katanya.