Ekonomi Indonesia berdepan tekanan berganda

EKONOMI Indonesia kini berhadapan cabaran besar susulan lonjakan harga tenaga global akibat konflik di Asia Barat selain kebimbangan pelabur terhadap beberapa dasar kerajaan yang kurang mesra pasaran.
Sebagai pengimport bersih minyak, Jakarta menerima kesan langsung daripada kenaikan harga minyak mentah dunia.
Dalam usaha mengurangkan beban rakyat, kerajaan mengekalkan subsidi bahan api yang menelan kos tinggi serta meneruskan program makanan percuma di sekolah yang bernilai berbilion dolar.
Bagaimanapun, program tersebut menerima kritikan kerana didakwa tidak cekap selain dikaitkan dengan beberapa kes keracunan makanan.
Pada masa sama, kerajaan turut memperkenalkan kawalan eksport yang lebih ketat, langkah yang dianggap sesetengah pihak sebagai bentuk 'nasionalisme sumber' dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur asing.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila usaha Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) memperketat pengawasan terhadap bank pusat.
Kesannya, nilai rupiah terus merosot dan mencatat beberapa paras terendah baharu sebelum jatuh melepasi 18,100 rupiah berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini.
Pasaran saham Indonesia turut menerima tekanan apabila kehilangan hampir satu pertiga daripada nilainya sejak awal tahun, sekali gus meletakkannya antara pasaran dengan prestasi paling lemah di dunia.
Namun, terdapat sedikit perkembangan positif minggu ini apabila rupiah dan pasaran kewangan menunjukkan pemulihan selepas Bank Indonesia menaikkan kadar faedah asas sebanyak 75 mata asas dalam dua mesyuarat berturut-turut.
Firma penyelidikan BMI, yang merupakan unit kepada Fitch Solutions, bagaimanapun berpandangan kebimbangan pelabur terhadap dasar kerajaan masih belum reda.
Menurut BMI, nilai rupiah masih kira-kira tujuh peratus lebih rendah berbanding kedudukannya sebelum konflik Asia Barat tercetus pada Februari lalu.
“Selagi kebimbangan terhadap dasar domestik tidak ditangani, tekanan terhadap rupiah dijangka berterusan,” menurut laporan BMI.
Firma itu turut menjangkakan Bank Indonesia mungkin terpaksa menaikkan lagi kadar faedah bagi mempertahankan mata wang.
Kerajaan pimpinan Presiden Prabowo Subianto menetapkan sasaran pertumbuhan ekonomi lapan peratus menjelang 2029, namun matlamat tersebut dilihat semakin sukar dicapai berdasarkan keadaan ekonomi semasa.
Timbalan Menteri Kewangan Indonesia, Juda Agung berkata, kerajaan tetap komited mencapai sasaran itu kerana ia penting untuk memastikan Indonesia muncul sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang 2045.
“Kita perlu berkembang pada kadar yang lebih tinggi untuk menjadi negara maju. Jika tidak, kita akan terus terperangkap dalam kelompok negara berpendapatan sederhana,” katanya kepada AFP.
Beliau turut menegaskan kerajaan menyokong tindakan bank pusat menaikkan kadar faedah walaupun langkah itu berisiko memperlahankan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kos pembayaran hutang kerajaan.
Penganalisis berpendapat kenaikan kadar faedah semata-mata tidak mencukupi untuk memulihkan keyakinan pelabur dan mengukuhkan rupiah.
Menurut Capital Economics, kerajaan perlu menunjukkan komitmen yang lebih jelas terhadap dasar ekonomi yang kurang campur tangan dalam pasaran.
Firma itu berpendapat perubahan dasar yang lebih konsisten dan boleh diramal adalah penting bagi menarik semula aliran modal asing ke negara tersebut.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Juda menegaskan tekanan ekonomi semasa masih berada pada tahap yang boleh dikawal
Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan ekonomi Indonesia hanya sekitar lima peratus tahun ini, lebih rendah daripada sasaran kerajaan sebanyak 5.4 peratus.
Walaupun data rasmi menunjukkan ekonomi berkembang 5.6 peratus pada suku pertama 2026, beberapa penganalisis masih mempersoalkan ketepatan angka tersebut.
Penyelidik dari Centre for Strategic and International Studies, Deni Friawan berkata, kerajaan perlu mengambil langkah lebih tegas mengawal perbelanjaan bagi membuktikan komitmennya terhadap disiplin fiskal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
