Isu pelantikan MB Johor, Shahrir Samad malu hadir PAU

Shahrir
Shahrir
A
A
A

JOHOR BAHRU - Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abd Samad mengesahkan tidak akan hadir pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 pada 16 Mac ini kerana isu membabitkan lantikan Menteri Besar Johor.

Ketua Bahagian UMNO Johor Bahru itu sepatutnya menjadi salah seorang jurucakap UMNO Negeri pada PAU 2022, namun tidak akan sertainya kerana berasa malu.

“Malu saya, sepanjang kempen saya ketawakan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) serta sekutu mereka yang tidak mampu menamakan calon mereka sebagai menteri besar (MB).

“UMNO sudah pasti dengan Datuk Hasni sebagai MB, tetapi itu tidak cukup kuat dan UMNO Johor tidak mampu lakukan apa-apa.

“Jadi, saya malu hendak ke PAU Malaysia hujung minggu ni. (Kita) boleh dapat mandat rakyat, tapi tidak berupaya meletakkan ketua parti sebagai ketua kerajaan. Taklah sehebat mana UMNO Johor,” katanya menerusi laman Facebook rasminya, di sini, pada Isnin.

Pada Isnin, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad mencadangkan kepimpinan BN memilih orang muda untuk memimpin negeri ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu, cadangan tersebut selepas melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting terhadap pembangunan negeri.

Antara nama disebutkan bakal menggantikan Hasni adalah ADUN Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang merupakan bekas Exco Belia dan Sukan Negeri Johor.

Artikel Berkaitan:

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, perkara mengenai lantikan menteri besar itu pada mulanya dilihat hanyalah sebagai khabar angin biasa namun semakin tepat apabila kenyataan sendiri dikeluarkan oleh pihak Hasni.

“Mula-mula cerita itu sampai ke saya secara bisik-membisik. Saya hanya terdiam. Tadi, adanya kenyataan media oleh Hasni. Bahasanya teratur dan sungguh halus.

“Tetapi ia mengesahkan secara tersirat akan ada pengganti kepada dirinya bagi jawatan Menteri Besar Johor,” katanya.