Bernas perluas Smart SBB

Penggunaan kaedah teknologi terkini seperti dron mengubah landskap pertanian konvensional. Foto: BERNAS
Penggunaan kaedah teknologi terkini seperti dron mengubah landskap pertanian konvensional. Foto: BERNAS
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Padiberas Nasional Berhad (Bernas) meningkatkan keluasan hektar ladang padi di bawah Program Sawah Berskala Besar (Smart SBB) di negara ini kepada 12 lokasi.

Ketua Jabatan Pengurusan Ladang Bernas, Norhisham Abdul Rahman berkata, lokasi terbabit ialah di Sungai Batu Pahat dan Titi Tinggi di Perlis; Bukit Besar, Kedah; Sungai Manik, Perak dan Tok Kamis serta Jelor di daerah Pasir Puteh, Kelantan.

Program pintar itu turut diperkenalkan di Gong Dasar, Terengganu; Gancong Hulu, Rompin Pahang; Batang Lupar, Sarawak serta Kampung Kalumbai, Kota Belud di Sabah.

Menurutnya, Smart SBB pada awalnya diperkenalkan di empat lokasi sebelum diperluaskan ke kawasan berkenaan kerana mendapat kerjasama yang baik daripada pesawah.

"Sehingga kini, Bernas berjaya membentuk kerjasama yang baik dengan hampir 465 pesawah berdaftar. Program ini tidak mungkin berjaya tanpa komitmen yang tinggi daripada pesawah.

"Usaha kolektif secara berterusan ini penting untuk mendedahkan pesawah tempatan dari segi pembangunan dan pengamalan teknologi pengurusan tanaman padi sesuai dengan perkembangan semasa sekali gus mencapai objektif transformasi sektor padi dan beras negara," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Usaha berterusan Bernas bersama pesawah menerusi program Smart SBB bagi mencapai objektif mentransformasi sektor padi dan beras negara. Foto: BERNAS
Usaha berterusan Bernas bersama pesawah menerusi program Smart SBB bagi mencapai objektif mentransformasi sektor padi dan beras negara. Foto: BERNAS

Program tersebut katanya, turut memfokuskan ke arah amalan pertanian lestari dan berteknologi tinggi dan Bernas antara perintis amalan berkaitan dalam sektor penanaman padi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, usaha tersebut mendapat kerjasama daripada agensi kerajaan serta institusi pengajian tinggi tempatan.

"Kolaborasi strategik ini merupakan satu platform iaitu mereka akan menawarkan khidmat nasihat serta kepakaran dalam bidang berkaitan. Pelbagai inisiatif sedang dirancang dan dilaksanakan secara berperingkat seperti kejuruteraan ekologi dalam Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM).

"Turut dititikberatkan ialah penggunaan jentera moden yang berupaya memelihara kelestarian tanah, penggunaan teknologi dron pelbagai aplikasi, pengamalan jadual kerja ladang yang lebih sistematik dan pelbagai amalan pertanian baik yang lain," ujarnya.