Kerajaan mulakan semula rundingan MEUFTA

Lim Ban Hong
Lim Ban Hong
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mengambil langkah sewajarnya untuk memulakan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia dan Kesatuan Eropah (MEUFTA).

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong berkata, kerajaan kini sedia maklum mengenai kepentingan Kesatuan Eropah sebagai antara rakan dagang utama Malaysia.

"Ketika perbincangan pada 23 Disember lalu, kedua-dua pihak (Malaysia dan Kesatuan Eropah) telah mengambil maklum berkenaan kedudukan terkini isu-isu yang masih tertangguh dan berusaha untuk merunding mengenai pendekatan dan hala tuju perjanjian itu.

"Keputusan untuk menyambung semula rundingan ini akan dibuat dengan teliti setelah mengambil kira kepentingan semua pihak," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Isnin.

Terdahulu pada 14 Ogos 2019, Jemaah Menteri memutuskan untuk menangguhkan rundingan MEUFTA berikutan tiada kesefahaman berkaitan isu-isu sensitif seperti perolehan kerajaan, dasar Bumiputera, halal dan hak harta intelek termasuk petunjuk geografi.

Dalam pada itu Ban Hong memaklumkan, Kajian Analisa Kos Faedah bagi mengenal pasti impak daripada penyertaan Malaysia menerusi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) telah selesai dijalankan dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam waktu terdekat.

"Dokumen kajian berkenaan akan dimuat naik di laman sesawang MITI sebagai rujukan umum, terutamanya kepada pihak yang berkepentingan," katanya.

Sementara itu mengenai konflik antara Rusia dan Ukraine, beliau menjelaskan, Malaysia hanya mengalami kesan yang minimum berikutan jumlah keseluruhan perdagangan dengan kedua-dua negara terbabit sebanyak 0.5 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Namun kita perlu lihat kepada impak secara tidak langsung ke atas perdagangan Malaysia, terutama terhadap sektor lain antaranya elektrik dan elektronik yang menyumbang 13 peratus kepada pengujian cip dan pembungkusan dunia, iaitu proses penting dalam penghasilan semikonduktor.

"Gangguan ke atas rantaian global secara berlanjutan, permintaan eksport yang lemah di Eropah dan negara serantau terlibat dengan sektor itu akan mendatangkan kesan tidak langsung kepada perdagangan Malaysia,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!