RM500 juta untuk program pembangunan ladang hutan

Program pembangunan ladang hutan bertujuan mengurangkan kebergantungan industri perkayuan negara kepada hutan asli. - Foto Bernama
Program pembangunan ladang hutan bertujuan mengurangkan kebergantungan industri perkayuan negara kepada hutan asli. - Foto Bernama
A
A
A

TANAH MERAH - Kerajaan menyediakan peruntukan RM500 juta bagi fasa kedua program pembangunan ladang hutan untuk tempoh 2021 hingga 2025 kepada pengusaha yang berminat menceburi industri tersebut.

Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Mahpar Atan berkata, bagi fasa pertama program tersebut iaitu dari 2017 hingga 2021, sebanyak RM940 juta diperuntukkan kepada 87 pengusaha yang membangunkan 129,000 hektar tanah ladang hutan.

"Untuk fasa kedua ini kami telah menerima permohonan daripada pengusaha dan sedang dalam proses kelulusan.

"Peruntukan ini merupakan pinjaman mudah kepada pengusaha, mereka tidak perlu membayar balik pinjaman dalam tempoh 15 tahun selagi hasil perladangan belum dituai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Projek Perladangan Paulownia oleh Huu Haq Resources Sdn Bhd di Hutan Simpan Sokor Taku di sini, pada Ahad.

Turut hadir, Pengerusi Huu Haq Resources Sdn Bhd, Datuk Wan Rahmat Marzuki Wan Isa.

Mengulas lanjut, Mahpar berkata, 13 spesies pokok yang cepat membesar seperti paulownia, buluh, getah dan jati diluluskan dalam program pembangunan ladang hutan.

"Tujuan program ini adalah bagi mengurangkan kebergantungan industri perkayuan negara kepada hutan asli, sekali gus memastikan pembangunan industri menjadi mampan dengan sumber perkayuan pada masa akan datang berasal daripada perladangan hutan ini," katanya.

Sementara itu, Wan Rahmat berkata, pihaknya telah mengusahakan ladang hutan paulownia sejak 2019 melibatkan kawasan seluas 202 hektar.

"Di China dan Jepun, paulownia mendapat permintaan tinggi bagi kegunaan membuat perabot dan barangan hiasan, selain untuk industri pembinaan bot dan marin di beberapa negara lain.

Artikel Berkaitan:

"Kami harap dengan adanya sokongan daripada kerajaan, industri kayu paulownia ini mampu menyumbang kepada ekonomi negara," katanya. - Bernama