Covid-19: Kes harian bawah 30,000, kebolehjangkitan bawah 1.0

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes harian baharu Covid-19 yang dicatatkan pada Sabtu menurun kepada 26,250 kes berbanding 32,800 kes pada Jumaat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah keseluruhan 26,250 kes yang dicatatkan pada Sabtu, sebanyak 26,073 kes atau 99.33 peratus dalam kategori satu dan dua manakala kategori tiga, empat dan lima yang dicatatkan berjumlah 177 kes atau 0.67 peratus.

Dalam kenyataan pada Ahad mengenai perkembangan harian pandemik Covid-19 dalam negara katanya, kadar kebolehjangkitan (Rt) yang dicatatkan di seluruh negara pada Sabtu sebanyak 0.99, berbanding 1.03 pada Jumaat.

Sementara itu mengenai katil Covid-19 bagi kes kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital Kementerian Kesihatan (KKM) beliau berkata, enam negeri mencatatkan penggunaan melebihi 50 peratus pada Sabtu iaitu Putrajaya 167 peratus, Kelantan (69), Johor (68), Kuala Lumpur (65), Selangor (58) dan Perak (53).

Katanya jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) pula menurun kepada 211 pesakit berbanding 231 pesakit pada 11 Mac manakala peratusan penggunaan ventilator pada Sabtu ialah 24 peratus berbanding 26 peratus pada 11 Mac.

Merujuk kepada jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga emas Dr Noor Hisham berkata, dari 19 Mac 2020 hingga 9 Mac 2022 sebanyak 367,522 kes jangkitan melibatkan golongan itu, yang mewakili 9.9 peratus daripada keseluruhan 3,711,199 kes positif di negara ini dalam tempoh berkenaan.

Katanya dari 25 Januari 2020 hingga 3 Mac 2022, sebanyak 154 kluster jangkitan Covid-19 dilaporkan di pusat jagaan warga emas.

Artikel Berkaitan:

"Kluster ini (pusat jagaan warga emas) adalah penyumbang tertinggi berbanding kluster kumpulan berisiko yang lain seperti di pusat jagaan kanak-kanak, pusat dialisis dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, kadar kematian akibat Covid-19 dalam kalangan warga emas lebih tinggi berbanding kumpulan umur lain dan kumpulan warga emas yang tidak divaksinasi pula adalah paling berisiko dijangkiti Covid-19 dan mengakibatkan kematian.

Sehubungan itu beliau menyeru semua warga emas mendapatkan dos penggalak dengan segera.

"Dapatkan dos penggalak. Vaksin tidak menjadikan seseorang kebal terhadap jangkitan Covid-19 tetapi vaksin dapat melindungi daripada kesan jangkitan yang teruk sehingga menyebabkan kematian,” kata Dr Noor Hisham.

-Bernama