Polis KL serius tangani pemandu mabuk

Yahaya ditemui ketika pemantauan sekatan jalan raya di Jalan Kuching, Kuala Lumpur tengah malam Ahad.
Yahaya ditemui ketika pemantauan sekatan jalan raya di Jalan Kuching, Kuala Lumpur tengah malam Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur akan meningkatkan kekerapan operasi trafik di ibu negara bagi menangani pemandu mabuk.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, memandu dalam keadaan mabuk merupakan kesalahan serius di bawah Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dikompaun antara RM10,000 hingga RM30,000 atau penjara hingga dua tahun.

"Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur akan melaksanakan operasi setiap minggu terutama hujung minggu," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi sekatan jalan raya di Jalan Kuching awal pagi Ahad.

Bagaimanapun katanya, polis akan meningkatkan kekerapan operasi jika statistik kemalangan membabitkan pemandu mabuk semakin meningkat

Sementara itu, statistik dari JSPT Kuala Lumpur sepanjang tahun lalu menunjukkan seramai tujuh pemandu mabuk didakwa di Mahkamah di bawah Seksyen 44 APJ 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan.

Menurut Yahaya, bermula Januari sehingga 12 Mac sebanyak tiga kemalangan membabitkan pemandu mabuk direkodkan di Kuala Lumpur dengan dua kematian.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan dua kemalangan di sekitar Jalan Kuching di sini membabitkan seorang penunggang motosikal dan petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) maut dilanggar pemandu mabuk.

Kedua-dua kemalangan berlaku di laluan sama kira-kira jam 1.10 pagi dan 3.15 pagi.

Artikel Berkaitan: