Pembangkang berpecah, BN untung besar

Barisan Nasional meraikan kejayaan meraih majoriti pada Pilihan Raya Negeri Johor di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor pada Sabtu. - Foto Bernama
Barisan Nasional meraikan kejayaan meraih majoriti pada Pilihan Raya Negeri Johor di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

PERPECAHAN di kem pembangkang tidak dapat diselindung lagi dan kesannya jelas dapat dilihat apabila mereka tewas besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15.

Pembangkang dilihat terbahagi dua apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) ingin menggunakan lambang sendiri manakala Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP tetap dengan keputusan menggunakan lambang Pakatan Harapan (PH).

Kem pembangkang semakin hilang arah apabila turut bertembung sesama sendiri dengan ‘rakan baharu’ iaitu Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Jika dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) PH memenangi 36 kerusi iaitu DAP (14), Amanah (9), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (8) dan PKR (5), mereka kini hanya mampu meraih 12 kerusi.

Berdasarkan keputusan rasmi, DAP hanya menang 10 kerusi manakala Amanah dan PKR serta rakan baharunya, Muda masing-masing hanya menang satu kerusi.

Walaupun banyak parti yang ingin melihat BN tumbang, namun mereka tidak mampu mengatasi kesatuan dan keutuhan BN yang begitu kuat di akar umbi, sedangkan parti-parti lawan terlalu banyak dan berpecah-pecah.

Ahmad Zahid (tengah) ketika berucap bagi meraikan kemenangan BN selepas memenangi PRN Johor pada Sabtu.
Ahmad Zahid (tengah) ketika berucap bagi meraikan kemenangan BN selepas memenangi PRN Johor pada Sabtu.

Usia Perikatan Nasional (PN) yang baru setahun jagung juga tidak mampu melawan BN, apabila Bersatu hanya menang dua kerusi manakala Pas menang satu kerusi.

Artikel Berkaitan:

Pada akhirnya, BN kembali menawan Johor setelah menang besar dengan majoriti dua pertiga, dengan keputusan rasmi memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Johor.

Kemenangan itu dilihat cukup bermakna setelah episod duka dalam PRU14 yang menyaksikan BN kehilangan Johor buat pertama kalinya selepas kemerdekaan apabila hanya menang 19 kerusi, berbanding Pakatan Harapan (PH) yang memenangi 36 kerusi.

Ia sekali gus membolehkan BN mewujudkan sebuah kerajaan negeri yang lebih kukuh dan stabil setelah Johor mengalami polemik politik berpanjangan sehingga menyaksikan pertukaran tiga Menteri Besar selepas PRU14.

Walaupun PRN Johor ini dijangka sengit dengan 239 calon bertanding untuk 56 kerusi DUN, namun akhirnya Bangsa Johor telah bersuara dan memilih BN untuk kembali berkuasa.


Dapatkan keputusan #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my