Muhyiddin sedia letak jawatan Pengerusi PN

Muhyiddin (kanan) pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PN di Senai pada Sabtu.
Muhyiddin (kanan) pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PN di Senai pada Sabtu.
A
A
A
KULAI - Tan Sri Muhyiddin Yassin bersedia melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) susulan kekalahan teruk PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, kekalahan PN pada PRN Johor adalah tanggungjawabnya.

"Saya bersedia lepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN, namun ia memerlukan persetujuan daripada rakan-rakan dalam gabungan PN iaitu Bersatu, Pas dan Gerakan, jika mereka kata saya tidak perlu lagi pegang jawatan sebagai Pengerusi PN.

"Itu hak demokrasi pimpinan dan komponen parti. Menang jadi tanggungjawab saya, kalah pun saya bertanggungjawab," katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PN di Taman Scientax Utama Senai di sini pada malam Sabtu.

Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu turut memberitahu telah melakukan yang terbaik untuk PN yang pertama kali bertanding pada PRN Johor.

Katanya, walaupun terkilan dengan kekalahan PN, namun mengakui masih menerima sokongan rakyat apabila mendapat tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Maharani, Bukit Kepong dan Endau.

"Saya telah buat yang terbaik, semua sudah bekerja keras untuk hadapi cabaran pada PRN Johor. Tidak mudah tampil sebagai 'underdog'.

"Dahulu kami menang atas tiket parti lain, ada perbezaan situasi namun kami menerimanya," katanya.

Barisan Nasional (BN) mendahului dengan menang dua pertiga daripada keseluruhan 56 kerusi DUN Johor sekali gus bakal membentuk kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pagoh itu memberitahu PN akan membuat 'post-mortem' di peringkat semua parti bagi mengenal pasti punca sebenar kekalahan PN pada PRN Johor.

"Post-mortem ini penting untuk mencari punca PN tidak mendapat jumlah kerusi yang besar. Beberapa data di kawasan akan diteliti. Kempen di Johor telah menarik perhatian namun ia tidak cukup untuk perubahan berlaku di sini," katanya.