'Niat saya ikhlas untuk membantu' - TMJ

Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Tunku Ismail Sultan Ibrahim
A
A
A

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah baginda ikhlas untuk menaja kos penanaman rumput baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Tunku Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam satu hantaran menerusi laman Twitter bertitah baginda berkenan untuk melawat SNBJ pada 19 Mac depan selain berkongsi kos serta penyelenggaraan rumput baharu di stadium berkenaan.

"Niat saya ikhlas untuk membantu. Rumput Zoysia di Stadium Sultan Ibrahim sudah terbukti.

"Saya juga akan melawat SNBJ pada 19 Mac. Saya akan kongsikan kos untuk padang baru dan kos penyelenggaraan setahun tidak melebihi RM240,000,” menurut ciapan baginda menerusi akaun rasmi @HRHJohorII pada Sabtu.

Khamis lepas, Tunku Ismail menerusi kenyataan menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers bertitah mahu menanggung kos pertukaran rumput ‘Cow Grass’ ke jenis ‘Zeon Zoysia’, sama seperti di Stadium Sultan Ibrahim milik JDT di Iskandar Puteri sebagai hadiah kepada skuad Harimau Malaya.

Tunku Ismail pada masa sama turut berkongsi sekeping surat yang diutus oleh Setiausaha Sulit Kepada Tunku Mahkota Johor Syed Umar Syed Abdul Rahman kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu semalam.

Menerusi surat bertajuk ‘Kurniaan Kos Penanaman Rumput Stadium Nasional Bukit Jalil’ itu Syed Umar menyatakan pihak Stadium Sultan Ibrahim telah menggunakan khidmat syarikat Sports Turf Solutions Sdn Bhd bagi proses penanaman dan penjagaan rumput selain berpengalaman menjalankan projek tersebut.

"Mereka juga adalah syarikat utama yang mempunyai kepakaran dalam menanam rumput jenis ‘Zeon Zoysia’ dan berjaya menumbuhkannya serta diselenggara dengan baik sepertimana rumput di Stadium Sultan Ibrahim, Gelang Patah, Johor Bahru,” menurut kandungan surat itu.

Artikel Berkaitan:

Pada Mac tahun lepas, dilaporkan kerja-kerja menggantikan rumput dengan kos RM10 juta dijangka siap dalam masa tiga bulan (Jun 2021), yang turut merangkumi penyelenggaraan padang, sistem pengudaraan, sistem saliran, pencahayaan buatan serta latihan kepada penyelia rumput.

Namun, projek berkenaan masih belum bermula walaupun kerajaan telah meluluskan bajet manakala stadium itu juga telah digunakan sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) bermula 21 Jun lepas.

Turut difahamkan bahawa Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) juga belum memutuskan jenis rumput bakal digunakan kerana menunggu laporan daripada sebuah universiti tempatan mengenai jenis rumput paling sesuai bagi stadium itu. - Bernama