UMK, USM dan UTM gerak misi bantuan pasca banjir

Selain pakaian, beras juga turut disumbangkan dalam misi bantuan melibatkan 400 penduduk di kawasan Rantau Panjang.
Selain pakaian, beras juga turut disumbangkan dalam misi bantuan melibatkan 400 penduduk di kawasan Rantau Panjang.
A
A
A
PASIR MAS - Prihatin dengan nasib mangsa banjir di Rantau Panjang, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Pusat Islam UMK dengan kerjasama Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menggerakkan Misi Bantuan Banjir Pantai Timur.

Misi tersebut melibatkan lebih 400 penduduk dibantu membabitkan lapan buah kampung iaitu Kampung Pusu Sireh, Kampung Gual Tok Deh, Kampung Banggol Kulim, Kampung Padang Bukit, Kampung Gual Nibong, Kampung Kubang Rambutan, Kampung Kok Batu dan Kampung Kubang Tersang.

Pengarah Pusat Islam UMK, Profesor Madya Dr Mohd Zain Mubarak berkata, pihaknya menyasarkan kepada mangsa banjir yang betul-betul terkesan dan terjejas teruk di sekitar Rantau Panjang termasuk staf UMK dengan jumlah dana keseluruhan sebanyak RM25,000 hasil sumbangan staf dari ketiga-tiga universiti terlibat serta masyarakat.

"Sumbangan ini juga tertumpu kepada sebahagian penduduk yang masih belum menerima sebarang bantuan banjir kerana lokasi mereka yang agak jauh dan kebanyakan mereka terputus hubungan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, selain barangan keperluan, pihaknya turut mengagihkan telekung solat, sejadah, kain pelikat, baju, tilam, bantal dan al -Quran kepada keluarga terjejas.

“Sumbangan ini dapat meringankan beban mangsa yang terkesan banjir kerana kebanyakan kediaman mereka ditenggelami air serta banyak barang berharga musnah dan rosak," katanya.

Pihak UMK, UTM dan USM bergambar kenangan di hadapan mercu tanda utama Rantau Panjang ketika Misi Bantuan Banjir Pantai Timur.
Pihak UMK, UTM dan USM bergambar kenangan di hadapan mercu tanda utama Rantau Panjang ketika Misi Bantuan Banjir Pantai Timur.



Misi Bantuan Banjir Pantai Timur 2022 Sinergi Pusat Islam UMK, USM dan UTM itu dilaksanakan di Masjid Raudhatul Quran, Lubuk Setol, Rantau Panjang.

Selain itu, lima rakan media dari Kelab Media Kelantan Darulnaim (Kemudi) juga menerima sumbagan daripada pihak berkenaan.

Artikel Berkaitan:


Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Unit Zakat dan Kebajikan Pusat Islam USM, Asheef Barkhia Yahya dan Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam UTM, Rahmawatulhusna Sokhipul Hadi.

Untuk rekod, Rantau Panjang berdepan banjir gelombang kelima hujung Februari lalu dengan kenaikan air yang mendadak sehingga menenggelamkan berpuluh kediaman di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok itu.

Walaupun sudah biasa dengan situasi banjir hampir setiap tahun, namun pengalaman kali ini memeritkan mereka kerana ada di antaranya kehilangan rumah akibat dibawa arus deras berikutan hujan berterusan.