Hilang enam ahli keluarga, Putri Qisya tunaikan impian arwah ibu bapa masuk MRSM

ALOR SETAR - Anak sulung kepada mangsa tragedi enam beranak Sungai Korok, Jitra teruja setelah mengetahui permohonannya menyambung pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kubang Pasu diterima.
Putri Qisya Nur Izzat, 13, berkata, ia juga sebagai memenuhi hasrat arwah ibu bapanya yang mahu melihat dirinya menyambung pelajaran ke MRSM kini hampir tercapai.
Menurutnya, walaupun kedua ibu bapa dan kesemua adik telah tiada, namun dirinya tetap berjanji akan belajar bersungguh-sungguh demi memperolehi keputusan cemerlang dan masa depan yang lebih cerah.
"Alhamdulillah, impian saya tercapai apabila diterima memasuki MRSM sebagaimana diharapkan arwah walid dan umi," katanya.

Berita gembira itu turut dikongsi Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di laman sosial Facebook menerusi perkongsian panggilan video yang dibuat kepada Putri Qisya.
Menurut Asyraf Wajdi, pemilihan Putri Qisya menunjukkan kasih sayang dan tanggungjawab Mara dalam memastikan remaja itu dapat mengejar cita-cita serta menunaikan hasrat kedua ibu bapanya sebelum ini.
"Saya mengucapkan tahniah kepada adik Qisya kerana berjaya terpilih ke MRSM yang juga satu peluang istimewa kepadanya, memandangkan lebih 100,000 permohonan diterima, namun hanya 7,000 calon yang terpilih.
"Saya menasihatkan Putri Qisya supaya sentiasa yakin bahawa dengan ilmu sajalah yang mampu mengubah kehidupan dan membanyakkan doa untuk arwah ibu dan bapa serta adik-adiknya yang sudah pergi," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, kedua ibu bapa Putri Qisya dan empat adiknya terkorban setelah kenderaan dinaiki keluarga itu terjunam ke dalam Sungai Korok.
Dalam tragedi terbabit, ibu bapanya, Mohamad Azim Izat, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, bersama empat adik berkunjung ke rumah saudara di Taman Aman, Jitra.
Kesemua adik yang turut terkorban ialah Putra Rayyan, 9; Hawa Adriana, 8; Annayla Humaira, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan.
Putri Qisya adalah satu-satunya anak pasangan terbabit yang masih tinggal dan terselamat daripada insiden kerana ketika itu berada bersama neneknya di Jerlun.
Sebelum ini, media melaporkan kehilangan enam sekeluarga ketika dalam perjalanan pulang dari Taman Aman ke Jerlun pada jam kira-kira 5.30 pagi.
Kehilangan itu terjawab apabila kenderaan dinaiki kesemua mereka dikesan dalam keadaan terapung di Sungai Korok di mana kesemua mangsa disahkan telah meninggal dunia.
Ringkasan AI
- Anak sulung mangsa tragedi Sungai Korok diterima masuk MRSM Kubang Pasu
- Permohonan tersebut memenuhi hasrat arwah ibu bapa
- Berjanji akan belajar bersungguh-sungguh demi masa depan cerah
- Dipilih dari lebih 100,000 permohonan dengan hanya 7,000 calon terpilih
- Sebagai satu-satunya anak yang selamat kerana tidak mengikuti ibu bapa dan adik ke rumah saudara semasa tragedi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

