'Rakyat Johor perlu betulkan kesilapan pada PRN kali ini'

Najib
Najib
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Rakyat Johor boleh menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini sebagai titik perubahan atau 'turning point' bagi memperbetulkan kesilapan memilih pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mereka perlu mengambil tindakan segera untuk perbetulkan kesilapan tersebut pada hari pengundian 12 Mac ini.

"Johor boleh menjadi ‘turning point’, Johor boleh menjadi pembetulan, Johor boleh jadi kebangkitan semula dan pemangkin untuk pembangunan Malaysia.

“Beri undi kepada parti yang diyakini mampu membawa pembangunan dan pemulihan sebenar pada ekonomi Malaysia kerana inilah yang amat diperlukan oleh rakyat pada masa ini,” katanya menerusi siaran langsung di Facebooknya pada Khamis.

Najib berkata, ada tiga pertimbangan utama untuk rakyat Johor membuat pilihan supaya mereka tidak mengambil risiko dengan memilih kerajaan tidak stabil dengan majoriti yang rapuh.

“Pertama dari segi calon dan parti yang diyakini dapat berkhidmat untuk rakyat bukan sahaja dalam menyelesaikan isu-isu tempatan atau membawa kemajuan infrastruktur di kawasannya tetapi juga daripada keperluan penduduk di taman perumahan dan kehendak peniaga kecil.

“Sebagai wakil rakyat, tanggungjawabnya juga besar bagi menentukan dasar-dasar negeri yang mempunyai impak besar terhadap rakyat.

"Buatlah pilihan yang benar-benar diyakini akan dapat mewakili kepentingan rakyat, membawa kebaikan kepada kawasan setempat dan menerajui kemajuan Johor,” katanya.

Menurutnya lagi, keduanya dari segi rekod dan pencapaian dalam setiap pilihan raya.

Artikel Berkaitan:

“Kemuncaknya saya percaya pada PRU14 dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) sehingga ramai pengundi yang termakan janji tetapi akhirnya yang rakyat dapat hanyalah alasan demi alasan dan kegagalan PH.

"Kerana apa katanya, manifesto itu bukan kitab suci, malah ada yang kata mereka tidak pernah memberi apa-apa janji, manifesto bukan janji," kata Najib.

Sementara itu katanya, pertimbangan ketiga adalah masa depan Malaysia dan Johor yang merupakan salah satu negeri yang mempunyai pembangunan tinggi dari segi pertumbuhan ekonomi.

Katanya lagi, Johor adalah negeri berdaya maju yang mempunyai pertumbuhan ekonomi sekitar enam peratus sebelum tahum 2018 namun setelah diambil alih oleh PH, ekonomi Johor didakwanya kian merosot tahun demi tahun.

"Jika kita imbas kembali, pada tahun 2016, 2017 dan 2018, Johor mempunyai jumlah pelaburan tertinggi di Malaysia,” jelasnya.

Tambahnya lagi, selepas tahun 2018, daya tarikan Johor sebagai destinasi pelaburan terpilih telah jatuh dalam kalangan pelabur antarabangsa dan tempatan,

“Itulah sebab sering kali saya ingatkan Johor perlu kembali landasan pembangunan namun beberapa tahun ini kita kekurangan dari segi visi, perancangan dan pelaksanaan sehinggakan kita kini jatuh ke belakang berbanding negara jiran serantau.

"Saya bimbang suatu hari nanti pula anak-anak Malaysia terpaksa berhijrah ke negara-negara jiran untuk bekerja," kata Najib.