Pekerja tapak binaan maut jatuh dari tingkat 7

Sepasukan pegawai penyiasat JKKP Perak menjalankan siasatan ke lokasi kejadian dan mengarahkan majikan menghentikan sebarang kerja-kerja pembinaan serta merta sehingga notis dipatuhi.
Sepasukan pegawai penyiasat JKKP Perak menjalankan siasatan ke lokasi kejadian dan mengarahkan majikan menghentikan sebarang kerja-kerja pembinaan serta merta sehingga notis dipatuhi.
A
A
A

IPOH - Seorang pekerja sebuah tapak pembinaan pangsapuri di daerah Kinta maut selepas terjatuh dari platform perancah yang runtuh di sini pada Rabu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.20 pagi itu menyebabkan mangsa, Md Zamir Uddin, 33, warganegara Bangladesh mengalami parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Supian Alias berkata, hasil siasatan awal yang dijalankan, mangsa sedang menjalankan kerja plaster dinding di tingkat tujuh blok pangsapuri yang sedang dalam pembinaan itu.

Menurutnya, ketika kejadian terdapat aktiviti mengangkat dan memindahkan palet yang mengandungi 80 beg ‘skim coat finishing’ seberat dua tan menggunakan kren menara untuk diletakkan di atas platform perancah.

"Semasa meletakkan palet di atas platform perancah, mangsa telah keluar melalui tingkap di tingkat tujuh bagi menguruskan ‘skim coat finishing’ yang di angkat oleh kren menara untuk dibawa masuk ke dalam melalui tingkap itu bagi kegunaan kerja plaster.

"Bagaimanapun sebahagian struktur platform perancah itu runtuh menyebabkan mangsa berada di atas platform tersebut telah terjatuh ke permukaan lantai di tingkat tiga," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Supian berkata, susulan itu, pihaknya telah mengeluarkan enam notis larangan kepada pihak majikan dan aktiviti kerja diarahkan supaya dihentikan serta-merta sehingga notis dipatuhi.

Menurutnya, JKKP Perak akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Artikel Berkaitan:

"Majikan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja. Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan.

"Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC)," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam kerana majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.