PBM mampu bawa perubahan di DUN Stulang

Muhammad Saiful Bahari (kanan) ketika beramah mesra bersama peniaga ketika berkempen di Stulang.
Muhammad Saiful Bahari (kanan) ketika beramah mesra bersama peniaga ketika berkempen di Stulang.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perubahan sentimen dan penerimaan rakyat terhadap parti-parti baharu diyakini mampu menjadi senjata utama dalam memecahkan dominasi DAP dan Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang.

Calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) bagi DUN berkenaan, Muhammad Saiful Bahari Sahari berkata, berdasarkan gerak kerja sepanjang kempen PRN kali ini, berlaku satu perubahan ketara dalam minda pengundi di kawasan itu khususnya berkaitan pemilihan pemimpin.

Beliau berkata, kawasan berkenaan juga dilihat sudah mulai terhindar daripada asas kepercayaan kukuh terhadap sesebuah parti selain sudah boleh menerima perubahan.

"Sepanjang kami berkempen apa yang boleh saya rumuskan adalah rakyat di Stulang bersedia untuk menerima perubahan dan mereka juga mahukan seorang pemimpin muda menerusi idea yang segar untuk menjaga kebajikan rakyat.

"Kita sedar bahawa kawasan Stulang ini adalah kubu kuat bagi DAP dan calon yang bertanding adalah seorang yang dikenali di kawasan itu, ia memang memberi cabaran kepada kita tetapi bukan dianggap satu kelebihan kepada mereka," katanya pada Sinar Harian di sini, pada Khamis.

DUN Stulang akan menyaksikan pertembungan lima penjuru melibatkan calon-calon daripada Barisan Nasional (BN-MCA), Perikatan Nasional (PN-Gerakan), PH-DAP, PBM dan seorang calon bebas.

Kerusi DUN Stulang ini merupakan kerusi campuran dengan jumlah pengundi Cina melebihi 40 peratus sekali gus menyebabkan kebanyakan parti meletakkan calon daripada komponen parti Cina di sini sejak sekian lama.

Ditanya mengenai keadaan itu, Muhammad Saiful Bahari berkata, perkara itu tidak boleh jadi pengukur kepada keputusan undi kerana sentimen rakyat kini sudah berbeza berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan pemerhatian sebenar, ia memberi kelebihan kepada kami. Setelah mendekati rakyat di sini, kita yakin ada peluang kerana sebahagian besar daripada mereka ini mahukan perubahan.

"Sebenarnya di sini bukan semata-mata pengundi Cina, pengundi Melayu juga ada kira-kira 58 peratus yang mana boleh memberikan perubahan ketara," katanya.

Memiliki kelebihan bertutur dalam bahasa Mandarin, dia yakin untuk mendekati pengundi di sini selain mudah untuk berkomunikasi.

Dalam pada itu, Muhammad Saiful Bahari menjelaskan pengundi kini bijak memilih calon berkaliber dan bukan melihat logo parti semata.

"Rakyat akan menilai dan mahukan calon yang benar-benar boleh berkhidmat. Mereka juga mahukan orang yang dekat dengan mereka bukan semata parti lagi.

"Untuk janji apa-apa, PBM hanya bertanding empat kerusi dan tidak boleh menubuhkan kerajaan. Cuma kami bertekad sekiranya diundi, kita akan berikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat," katanya.