Hutan Lipur Bukit Wang dibaik pulih

Jambatan di Hutan Lipur Bukit Wang yang runtuh dalam kejadian kepala air pada November tahun lalu.
Jambatan di Hutan Lipur Bukit Wang yang runtuh dalam kejadian kepala air pada November tahun lalu.
A
A
A

KUBANG PASU - Hutan Lipur Bukit Wang di Jitra yang terjejas akibat tragedi kepala air November tahun lalu akan dibaik pulih dalam masa terdekat.

Pengarah Jabatan Perhutanan Kedah (JPNK), Muhamad Abdullah berkata, kerajaan negeri telah meluluskan sejumlah peruntukan bagi tujuan baik pulih di kawasan terbabit.

Katanya, antara prasarana yang terlibat adalah pembinaan semula jambatan yang runtuh, penyelenggaraan tandas awam dan surau.

" Insya-ALLAH kerja-kerja pembaikan ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan dijangka mengambil masa antara tiga hingga empat bulan," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Menurutnya, jabatan perhutanan juga bercadang untuk menutup bahagian atas hutan lipur berkenaan.

" Ini kerana kawasan atas itu agak semak dan pengunjung pun tidak naik mandi sehingga ke atas sana, sekadar mandi-manda di kawasan bawah sahaja," katanya.

Muhamad berkata, hutan lipur berkenaan kembali dibuka kepada orang ramai setelah ditutup berikutan cuaca tidak mengizinkan sebelum ini.

" Walau bagaimanapun kita menasihati pengunjung agar sentiasa berjaga-jaga dan peka dengan keadaan sekeliling.

Artikel Berkaitan:

" Kalau hujan turun segera beransur pulang dan jangan pergi ke tempat-tempat yang berisiko," katanya.