Tumpuan PN perkasa pendidikan

Zulkifli (kanan) ketika beramah mesra bersama masyarakat ketika berkempem di sekitar kawasan Larkin.
Zulkifli (kanan) ketika beramah mesra bersama masyarakat ketika berkempem di sekitar kawasan Larkin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Memperkasa sektor pendidikan adalah antara tumpuan utama Perikatan Nasional (PN) dalam menyusun langkah membangunkan sebuah negara yang dibarisi generasi muda berkualiti dan sejahtera.

Sewaktu kerajaan di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri merangkap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sektor pendidikan tidak pernah diabaikan apabila dana bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) kepada pelajar disalurkan melalui institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing.

Pakej PRIHATIN meliputi bantuan sekali gus sebanyak RM200 kepada setiap pelajar IPT di bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi.

Bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM270 juta kepada pelajar di pelbagai peringkat pengajian tinggi termasuk matrikulasi, kolej komuniti, politeknik, IPTA dan IPTS.

Perkara yang turut dinyatakan dalam tunjang kelima Ikrar PN iaitu Kesejahteraan Rakyat itu juga adalah perkara sama yang akan menjadi pengkhususan gerak kerja calon parti berkenaan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Zulkifli Bujang, 44.

Menurut Zulkifli, kesejahteraan rakyat yang ingin ditawarkan itu dilihat merupakan teras utama yang cukup penting atas dasar kebimbangan dan keprihatinan parti kepada sebahagian besar rakyat yang kini masih terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Apa yang kita tawarkan itu daripada aspek keprihatinan kita terhadap kesejahteraan rakyat. Ia adalah asas paling penting terutama bagi isu pendidikan, perumahan dan soal ekonomi itu sendiri.

“Sebagai contoh, di pihak saya sendiri, kita mempunyai perancangan untuk menubuhkan satu yayasan khusus bagi memberi bantuan pendidikan kepada Bangsa Johor dan sudah semestinya juga kepada penduduk di DUN Larkin.

Artikel Berkaitan:

“Golongan muda sudah tentu akan menjadi fokus kita dalam bidang pendidikan ini, ini kerana pendidikan adalah satu-satunya perkara yang boleh mengubah kehidupan sekali gus menjamin kesejahteraan mereka untuk masa hadapan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, pada Isnin.

Poster calon PN untuk DUN Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencuri tumpuan penduduk di sekitar kawasan berkenaan.
Poster calon PN untuk DUN Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencuri tumpuan penduduk di sekitar kawasan berkenaan.

Selain itu, Zulkifli berkata, pemerkasaan usaha bagi isu-isu perumahan dan kediaman selesa juga antara perkara yang dilihat boleh memberi impak besar kepada kehidupan seharian rakyat di negeri ini.

“Apa yang diumumkan PN dalam Ikrar baru-baru ini adalah perkara yang nyata. Sepertimana tunjang kelima ini, isu perumahan dan pemilikan rumah adalah perkara yang kita akan usahakan kerana mempunyai kesan besar.

“Baru-baru ini saya ada berbual dengan Tan Sri Presiden (Muhyiddin Yassin) mengenai perihal rumah ini, jadi apa yang disebutkan oleh beliau adalah isu tempoh pajakan melibatkan penduduk di sini yang seharusnya diteruskan.

“Kita faham mereka ini sudah tinggal lama, malah ada juga sektor-sektor tertentu yang membelanjakan pelaburan besar ketika mereka di sini, ini semua kita perlu ambil kira,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai perancangan khusus kepada warga Larkin sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat, Zulkifli memberitahu, dia akan memastikan PN akan sentiasa rapat sebagai wadah utama rakyat di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu akn dimulakan dengan pembukaan kaunter pusat khidmat DUN Larkin di beberapa kawasan tumpuan dan pusat beli-belah.

“Saya nak wujudkan kaunter atau pusat khidmat DUN di beberapa kawasan tumpuan orang ramai. Tempat ini juga perlu sesuai dan mempunyai akses kepada orang ramai.

“Saya juga mahu ia dibuat dengan imej yang lebih korporat, kerana kita tidak mahu pusat khidmat kita usang, seperti di rumah-rumah kedai yang mana boleh menyebabkan orang tidak minat untuk datang,” katanya.

REAKSI

Halid
Halid

Semestinya kita sebagai rakyat mahukan pembaharuan, hapuskan rasuah dan tiada lagi ahli politik yang hanya mahu berpolitik.” - Halid Abd Rahman, 42

Saya ingin melihat orang yang berkaliber dan mampu menerajui DUN Larkin. Berpengalaman dalam pentadbiran dan mudah didekati rakyat.” - Rohana Mustaffa, 57

Rohana
Rohana

PRN Johor ini, kalau boleh kita tidak mahu perpecahan bangsa Melayu. Jadi kita mahukan seorang calon daripada parti yang benar-benar mahu berkhidmat demi rakyat dan negara.” - Sallehuddin Saidon, 59

Saya tidak mahu berlaku perpecahan. Sudah semestinya pilihan adalah kepada calon parti yang teguh daripada akar umbinya. Parti yang memahami masalah rakyat pasti akan diterima dan disokong oleh pengundi.” - Sharom Othman, 66

Mohd Borhan
Mohd Borhan

Saya pilih wakil rakyat yang prihatin, bukan semata-mata datang hanya ambil gambar. Yang Berhormat kena tahu apa kerja dia, bantu penduduk dan ringankan beban apa yang sepatutnya.” - Mohd Borhan Majid, 52

Mohd Afiq
Mohd Afiq

Kesejahteraan rakyat penting. Saya harap kerajaan boleh memberi peluang pekerjaan kepada graduan-graduan dan secara tidak langsung boleh membantu pemulihan ekonomi di Malaysia.” - Mohd Afiq, 33