Malaysia rekod pelaburan diluluskan berjumlah RM306.5 bilion pada 2021

Mohamed Azmin - Foto Bernama
Mohamed Azmin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia merekodkan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM306.5 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan primer pada 2021, jumlah tertinggi yang dicatatkan sejak 2006.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Malaysia kekal menjadi destinasi pelaburan menarik bagi pengembangan perniagaan global dan serantau.

Beliau berkata, jumlah Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Pelaburan Langsung Domestik (DDI) melepasi jangkaan pada 2021, melonjak sebanyak 83.1 peratus berbanding 2020.

"Ekosistem perniagaan kita yang padu telah membolehkan kita memperoleh pelaburan strategik dan menjalin hubungan perdagangan baharu, menempatkan kita di trajektori positif untuk merangsang ekonomi ke tahap yang lebih tinggi, serta mempercepat usaha ke arah pertumbuhan sosia-ekonomi inklusif.

"Kelonggaran langkah-langkah membendung pandemik, ditambah dengan kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan pelbagai industri dan profesional telah membolehkan penyambungan semula aktiviti ekonomi,” katanya pada Persidangan Media Tahunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) 2022, di sini pada Selasa.

Mohamed Azmin berkata, langkah-langkah tambahan telah dilaksanakan bagi memastikan ekosistem perniagaan kekal responsif kepada trend global dengan dasar dan inisiatif bagi pemudahan perniagaan, menambah kemahiran dan melatih semula tenaga kerja, pendigitalan dan automasi.

"Secara ringkasnya, langkah-langkah ini telah menempatkan ekonomi kita di landasan kukuh ke arah pertumbuhan yang rancak dan pemulihan mampan,” katanya.

Menurutnya, FDI menyumbang hampir 68.1 peratus daripada pelaburan yang diluluskan berjumlah RM208.6 bilion pada 2021 -- peningkatan 224.9 peratus daripada RM64.2 bilion yang direkodkan pada 2020 manakala DDI berjumlah RM97.9 bilion, membentuk 31.9 peratus daripada jumlah nilai pelaburan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sektor pembuatan mendahului dengan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM195.1 bilion pada 2021, diikuti sektor perkhidmatan (RM94.1 bilion) dan sektor primer (RM17.3 bilion).

"Belanda (RM78 bilion), Singapura (RM47.3 bilion), China (RM31.3 bilion), Austria (RM18.9 bilion) dan Jepun (RM9.9 bilion) menyumbang 88.9 peratus daripada jumlah FDI yang diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan primer.

"Pulau Pinang merekodkan pelaburan diluluskan tertinggi tahun lepas sebanyak RM83.5 bilion, diikuti Kedah (RM68.3 bilion), Kuala Lumpur (RM37.7 bilion), Selangor (RM28.8 bilion) dan Sarawak (RM25.7 billon) -- kelima-lima negeri ini menyumbang 79.6 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan pada 2021," katanya.

Mohamed Azmin berkata, sektor pembuatan meraih projek bernilai RM195.1 bilion pada 2021, peningkatan 113.7 peratus berbanding RM91.3 bilion yang dicatatkan pada 2020, yang seterusnya mewujudkan 74,575 peluang pekerjaan.

"Industri elektrik dan elektronik (E&E) mencatatkan peluang pelaburan tertinggi, dengan 94 projek yang diluluskan bernilai RM148 bilion," katanya.

Selain E&E, beliau berkata industri lain juga berjaya menarik jumlah pelaburan yang tinggi termasuk produk logam asas (RM19.4 bilion), kimia dan produk kimia (RM5.8 bilion), produk getah (RM5.8 bilion) dan pembuatan makanan (RM5.4 bilion).

Beliau berkata, Malaysia memperoleh 75 projek berintensifkan modal bernilai RM100 juta dan ke atas, sambil menambah projek itu akan merangsang pertumbuhan teknologi pembuatan canggih baharu dan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Menurutnya, pada 2021, Malaysia memperoleh 3,803 projek dalam sektor perkhidmatan bernilai RM94.1 bilion menerusi pelaburan yang diluluskan dengan DDI meningkat kepada RM69.2 bilion daripada RM63.5 bilion pada 2020; menyokong kekuatan syarikat Malaysia yang boleh dimanfaatkan lagi bagi eksport perkhidmatan.

"Lima penyumbang utama pelaburan yang diluluskan dalam sektor ini ialah hartanah (RM28.8 bilion), syarikat global (RM19.7 bilion), perkhidmatan kewangan (RM12.0 bilion), utiliti (RM9.6 bilion) dan maklumat dan komunikasi (RM8.2 bilion)," kata Mohamed Azmin. - Bernama