PSM kekal ahli gabungan MOM buat masa ini

Mohamad Norza (kanan) pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di Wisma OCM pada Selasa. - Foto Bernama
Mohamad Norza (kanan) pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di Wisma OCM pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) kekal sebagai ahli gabungan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) buat masa ini, walaupun persatuan itu tidak mendapat pengiktirafan daripada badan induk sepak takraw antarabangsa.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya tidak mahu tergesa-gesa membuat keputusan dalam perkara tersebut supaya tidak menjejaskan perkembangan sukan berkenaan di peringkat akar umbi.

Beliau turut mengesahkan pihaknya menerima permohonan daripada entiti baharu sepak takraw di negara ini iaitu Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) untuk menjadi ahli gabungan MOM lewat Isnin malam.

"Perkara ini dibincangkan begitu hangat dan lanjut dalam mesyuarat tadi dengan kehadiran Pesuruhjaya Sukan (PJS) Ibrahim Mohd Yusof. Kita beranggapan apa sahaja keputusan dibuat PJS, tidak harus tergesa-gesa kerana MOM akan melihat dari segi kepentingan sukan tersebut.

"Kita akan meminta Jawatankuasa Perundangan dipengerusikan Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos untuk melihat secara terperinci terhadap kemelut sepak takraw ini dan keputusan itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di Wisma OCM pada Selasa.

Beliau berkata, MOM juga tidak bersetuju jika PSJ menarik balik kelulusan PSM, sebaliknya berharap PJS menunggu keputusan daripada pihaknya.

Kontinjen ke Sukan SEA Hanoi pada Mei ini diletakkan di bawah naungan MOM dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Mohamad Norza berkata, mesyuarat tersebut juga bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Keahlian MOM yang akan dipengerusikan Presiden MOM, untuk menilai dan menetapkan kriteria terkini bagi kemasukan ahli gabungan yang baharu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata selain MSC, terdapat juga permohonan daripada entiti seperti Persatuan Teqball Malaysia, Persekutuan Gusti Lengan Malaysia serta Cheerleading Association and Register of Malaysia untuk menjadi ahli gabungan MOM.

"Antara kriteria dibincangkan ialah berapa ahli gabungan persatuan itu sendiri, kerana ia melibatkan pembangunan akar umbi, kedudukan akaun-akaun diaudit, perkembangan dari tadbir urus dan kejohanan yang dianjurkan.

"Kriteria kami sangat komprehensif yang tertakluk kepada perlembagaan dan ini terbukti menerusi pelaksanaan bagi tempoh lama, kalau tidak macam-macam persatuan jadi ahli gabungan. Jika tidak memenuhi kriteria sebagai ahli gabungan, mungkin menjadi ahli bersekutu,” jelasnya.

Sementara itu, Ibrahim ketika ditemui pemberita berkata, PSM masih kekal sebagai badan yang berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan dan boleh menjalankan aktiviti berkaitan sepak takraw tempatan.

"PSM masih berdaftar, kita akan lihat kesesuaian berdasarkan akta kita (Akta Pembangunan Sukan 1997). PSM, bagaimanapun, tidak boleh terlibat dengan aktiviti luar (antarabangsa) kerana bukan lagi ahli gabungan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Kemelut sepak takraw negara bermula apabila Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) menyingkirkan PSM pada Mei 2021 susulan tindakan presidennya ketika itu, Datuk Seri Ahmad Ismail, menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF, pada 24 Februari tahun lepas.

Pada Sabtu lepas, ASTAF menerima MSC sebagai ahli gabungannya, selepas PJS serta Kementerian Belia dan Sukan menyokong permohonan MSC itu. - Bernama