Rugi masa debat isu Felda: Idris

Idris ketika ketika ditemui pemberita selepas program ramah mesra bersama penduduk Felda Air Tawar 2 pada Selasa.
Idris ketika ketika ditemui pemberita selepas program ramah mesra bersama penduduk Felda Air Tawar 2 pada Selasa.
A
A
A

KOTA TINGGI - Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Idris Jusoh menyifatkan langkah untuk mengadakan debat berkaitan isu membabitkan agensi tersebut sebagai tindakan membuang masa.

Ahli Parlimen Besut itu berkata, beliau sebaliknya lebih cenderung menunjukkan bukti hasil kerja yang dilakukannya dalam agensi tersebut berbanding terbabit aktiviti sedemikian.

“Saya tidak suka debat. Saya suka buat kerja dan jelas kalau melihat kepada lima enam perkara yang kita paparkan yang sudah ada dalam perancangan (Felda), ia jelas. Saya debat-debat ini rugi masa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program ramah mesra bersama penduduk Felda Air Tawar 2 di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai isu perdebatan antara Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin baru-baru ini telah mencabar Najib untuk berdebat berkenaan isu Felda selepas mendakwa agensi tersebut telah dirosakkan semasa zaman pentadbiran Perdana Menteri Keenam itu.

Susulan daripada itu, Najib telah menyatakan kesediaannya untuk berdebat dan beliau turut mempelawa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk ikut serta dalam debat tersebut bersama Mohamed Azmin.

Idris bagaimanapun berkata, terpulang kepada Najib sama ada untuk menyahut cabaran debat itu ataupun tidak.

Dalam pada itu, beliau berkata, secara keseluruhannya, Felda telah menunjukkan peningkatan dalam operasi antaranya berkaitan kejayaan menyelesaikan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Artikel Berkaitan:

Katanya, proses pengambilan semula aset tanah dalam Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) FGV Holdings Berhad (FGV) juga telah mencapai sebanyak 80 peratus.

Pada Oktober 2020, Felda mengumumkan bahawa agensi tersebut mahu mengambil semula 350,000 hektar tanah yang dipajak kepada FGV dalam usaha untuk mengukuhkan kembali kedudukan kewangannya.

Mengulas mengenai masalah pembinaan terbengkalai dalam Projek Perumahan Generasi Kedua Felda (PGKF), Idris berkata, isu tersebut hanya membabitkan dua kawasan di Johor iaitu di Felda Bukit Aping Timur dan Felda Pasak.

Katanya, usaha menyelesaikan isu tersebut akan dilakukan dengan menggunakan kaedah baharu yang berlainan dengan cara digunakan sebelum ini.

“Dahulu kita selesaikan bagi pembinaan yang sudah 70 peratus ke atas dan sekarang kita selesaikan yang sebelumnya. Ada rumah yang kini telah diduduki sebenarnya. Jadi ini isu lama yang kita sedang usahakan,” katanya.

Pada masa sama, Idris memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad akan melakukan satu pengumuman berkenaan dengan isu besar mengenai lot tanah generasi kedua Felda pada Rabu.