Cabaran jadi ketua polis daerah paling muda

Ahsmon bersama isteri dan anak-anaknya.
Ahsmon bersama isteri dan anak-anaknya.
A
A
A
KOTA TINGGI - Bagi sesetengah orang sudah pasti tidak akan menolak apabila ditawarkan kerjaya bergaji lumayan, namun tidak bagi Ketua Polis Daerah Kota Tinggi yang memilih untuk merealisasikan minatnya sejak kecil.

Anak kelahiran Kudat, Sabah, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, sejak di bangku sekolah beliau sudah aktif dalam pasukan beruniform.

Antaranya seperti pengakap, kadet polis bahkan pernah menjadi ketua kadet pada 1995.

Menurutnya, minat untuk menjadi polis tercetus selepas dipengaruhi disiplin diterapkan dan bidang tugas yang berdepan pelbagai cabaran dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, permulaan menyertai PDRM selepas tamat pengajian sarjana muda di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 1 November 2003 sebagai kadet ASP.

Jelasnya, ketika itu beliau menolak tawaran Skim Perantis Pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan juga skim pegawai muda Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Isteri Emmy Suin dan ayah pendukung utama dalam kerjaya. Saya pernah ditawarkan pelbagai jawatan di luar selepas tamat pengajian sarjana.

"Tawaran baik termasuklah gaji lumayan dan imbuhan yang lain. Isteri saya yakinkan saya kerja dalam polis sesuai dengan keperibadian saya.

"Ayah juga menjadi pendukung kerjaya, beliau selalu mengingatkan pentingnya soal moral dan etika. Saya sentiasa berpegang pada katanya 'biarlah orang lain menganiaya kita tapi kita jangan menganiaya orang lain," katanya kepada Sinar Harian.
Artikel Berkaitan:


Ahsmon berkata, beliau pernah terhambur keluar di belakang van Perodua Rusa PDRM semasa menyertai operasi jenayah di Gombak, Selangor.

Kata bapa kepada tiga anak itu, ketika kejadian van berkenaan yang agak uzur sedang mendaki bukit sebelum secara tiba-tiba bonet belakang tertanggal.

"Saya bersama anggota yang lain tergelincir keluar disebabkan sesak dalam van dan tempat duduk juga telah uzur. Itu merupakan pengalaman manis tidak boleh dilupakan.

"Manakala pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan ketika kendali kes melibatkan kerabat yang dikatakan suspek kes pemerasan.

"Ketika itu terpaksa berkorban masa dua hari tidak tidur bagi menguruskan siasatan. Memerlukan kebijaksanaan dan diplomasi. Paling mencabar untuk melaksanakan tangkapan ke atas suspek dan urusan lokap. Ketika itu, saya beranikan diri dengan sembah 'mohon maaf hanya anak orang kampung menjalankan tugas' syukur kerabat tersebut gentleman dan memahami," katanya.

Mengulas cabaran menjadi ketua polis daerah termuda, katanya, beliau diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan PDRM dan negeri menjawat ketua polis daerah pada usia 38 tahun paling muda dalam kalangan ketua polis lain ketika itu.

Tambahnya, kriteria pelantikan beliau berdasarkan pengalaman sebagai pegawai penyiasat (IO), penolong pegawai penyiasat (SIO), ketua bahagian pengurusan daerah (KBPD), ketua bahagian siasatan jenayah (KBSJD) dan dua kali menjawat timbalan ketua polis daerah.

"Cabaran utama menjadi ketua polis muda adalah persepsi orang muda kurang pengalaman selain perlu menguruskan pegawai lebih berusia. Saya guna pendekatan memimpin bukan ketua.

"Saya akan buat dahulu dan tunjuk pada mereka hasilnya dan selaku pemimpin kita mesti berani buat keputusan dan juga pertahankan anak buah kita yang betul.

"Cara menegur, saya menggangap mereka sebagai ayah dan abang saya. Pendekatan saya gunakan 'face to face' di pejabat dan psikologi dengan konsep teguran ingatkan mereka 'kamu lebih dewasa daripada saya maka tunjukkan cara kerja dan pembawa diri yang betul',"katanya.

Jelasnya, konsep 'empowerment' juga penting di mana kepercayaan harus diberi kepada anggota, namun dalam masa sama beliau tetap akan buat keputusan akhir dalam perkara yang perlu.

Katanya, ia secara tidak langsung akan meyakinkan kakitangan di bawahnya bahawa beliau adalah pemimpin dan bukanya ketua kerana pangkat.

Mahu mengoptimumkan perkhidmatan polis Kota Tinggi adalah visi dibawa beliau menakala misinya pula mahu penyampaian perkhidmatan mengikut keutamaan.

Sebagai ketua polis yang masih dianggap baru di daerah ini, antara perancangan beliau sudah pasti mahu mengeratkan hubungan dengan masyarakat selain mahu membanteras jenayah harta benda serta penyeludupan di daerah ini.

Sebagai seorang ketua di daerah yang sedang mengalami pembangunan projek mega di Pengerang, beliau memperkenalkan dua konsep penugasan mudah untuk mekanisma yang digunakan dalam soal keselamatan masyarakat.

Ahsmon berkata, polis adalah agensi terbaik. Masalah-masalah yang pernah timbul bukannya disebabkan polis, tetapi disebabkan oleh segelintir individu yang tidak layak menjadi polis.

"PDRM tidak akan berjaya jika masyarakat tidak memberikan kerjasama. Kami tidak mampu berada di setiap inci kawasan tetapi masyarakat ada di mana sahaja. Berikan sumbangan anda khususnya penyaluran maklumat," katanya.